Meskipun kemampuan vokal penyanyi Aina Abdul tidak dapat dipertikaikan lagi, namun ramai pihak yang mempersoalkan fesyen unik yang seringkali digayakannya dalam mana-mana acara hiburan.
Walaupun ada yang memuji, namun tidak kurang juga komen yang mengeji sehingga pemilik nama sebenar Nurul Aina Abdul Ghani ini menyedari perkara itu. Aina berkata, rupa dan penampilannya memang sudah lama diperkatakan netizen sejak dia mula bergelar artis. Tidak mengambil pusing setiap komen negatif, Aina mengakui lebih selesa dan masih berpegang prinsip menutup aurat. "Setiap acara yang dihadiri, saya akan pakai busana yang bersesuian dengan majlis. Saya sebenarnya seorang yang ringkas dan hampir setiap hari memakai pakaian berwarna hitam.
"Namun, kalau saya menghadiri majlis, saya tampilkan yang sehabis baik daripada segi penampilan sebab di situ sahaja saya boleh bereksperimentasi. "Saya bukan pandai berfesyen terutama membabitkan permainan warna pakaian," katanya.
Menurut Aina, dia sering menjadikan selebriti antarabangsa seperti Lady Gaga sebagai rujukan dalam berfesyen, namun masih mengikut kesesuaian diri. "Saya tidak boleh pakai pakaian ketat sebab bentuk tubuh agak berisi. Jurugaya pun sudah faham dan corak fesyen yang boleh menutup kelemahan dan menonjolkan kelebihan saya," katanya. Single tak menjadi? Kejayaan single Sumpah dan Semalam membawa jenama yang ampuh buat diri Aina.
Bagaimanapun, menerusi single terbaharunya berjudul Maybe dan Kelip-Kelip, populariti lagu itu tidak serancak seperti diharapkan. Optimis dengan lagu yang dihasilkannya, Aina menjawab mengenai kritikan yang mengatakan dirinya sengaja merosakkan bahasa kerana penggunaan bahasa rojak dalam lagu terbabit. Bagaimanapun, sebagai penulis lagu, Aina tidak berasakan perkara itu melanggar etika penulisan lirik lagu.
"Setiap penulis lirik sentiasa mahu mencari kelainan dalam setiap karya yang dibawakan. Lagipun bukan mudah nak cari resipi yang terbaik untuk halwa telinga pendengar. "Jika nak bercakap mengenai penggunaan bahasa yang bercampur itu, saya faham ada pihak yang sensitif. Tambahan pula, ibu saya adalah guru bahasa Melayu. "Namun apa yang ditampilkan adalah sisi berbeza lagu yang pernah saya bawakan sebelum ini selain ingin bereksperimentasi dalam karya. Lagipun isu 'lagu rojak' bukan perkara baharu dan ada beberapa artis lain yang pernah menghasilkan lagu sedemikian," katanya. -CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|