Tindakan segelintir anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang suka mempamerkan kemewahan di laman sosial mungkin akan memberi natijah buruk.
Hal ini kerana Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, pihaknya sedang memantau rapi trend mempamerkan kemewahan untuk mengekang salah laku dalam kalangan anggota dan pegawainya, demi menjaga integriti pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Zamri berkata demikian selepas ada pegawai dan anggota PDRM yang menonjolkan gaya hidup 'ala orang kaya' seperti melancong, bermain golf dan memiliki kenderaan mewah walaupun tidak setara dengan jawatan serta gaji bulanan yang diperoleh. “Saya diberitahu ada anggota sering bermain golf selain membuat taruhan dalam aktiviti itu. Kalau dilihat bermain di kelab golf bertaraf sederhana sahaja, sekali bermain memerlukan kos RM200... kalau sebulan dah berapa perbelanjaan digunakan?
“Ada juga yang didapati kerap ke luar negeri untuk bermain sukan berkenan sedangkan ia melibatkan pembiayaan tinggi. Apabila diperiksa berdasarkan jawatan atau pendapatan, sebenarnya mereka tidak mampu untuk menampungnya,” katanya seperti dilapor Bernama. Gaya hidup mewah yang ditonjolkan itu juga secara tak langsung banyak mendatangkan tanda tanya terutama dalam kalangan orang awam tentang sumber kekayaan mereka. Sehubungan itu, katanya anggota dan pegawai yang telah dikenal pasti itu akan diminta memberi penjelasan tentang sumber kewangan diperoleh bagi membiayai cara hidup mewah itu. “Jika tidak dapat memberikan justifikasi, mereka akan berdepan tindakan lanjut,” tegasnya. Jelasnya, sebagai seorang penjawat awam dan anggota badan beruniform, mereka perlu mengelakkan sebarang perbuatan salah laku yang boleh menjejaskan imej pasukan polis. -CARI Sumber & Foto: BERNAMA
|
ADVERTISEMENT