Di sebalik sifatnya yang ceria, ada duka yang tersimpan jauh dalam lubuk hati insan ini. Biarpun cuba menyembunyikannya, riak wajah yang dipancarkan cukup menterjemahkan segala-galanya.
Bukan niat menagih simpati, namun, bagi anak Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Sazali, amat sukar menafikan hakikat hidup yang disifatkan sukar dan mencabar. Sazali berkongsi kesihatan diri kurang mengizinkan apabila mengalami darah tinggi dan asma. Tidak cukup itu, kecederaan kaki kanan akibat kemalangan, tahun lalu, menyebabkan Sazali terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan. Pergerakannya terbatas lantas menyukarkan untuknya keluar bekerja.
"Beginilah kehidupan saya sekarang. Selepas terbabit dalam kemalangan Disember tahun lalu, kaki kanan saya mengalami kecederaan serius hingga dimasukkan besi. "Apabila menggunakan tongkat, bermakna pergerakan saya semakin terhad. Hendak keluar ke mana-mana pun, agak sukar apatah lagi untuk bekerja. "Bagi menampung kehidupan harian, saya mendapat bantuan bulanan Pusat Zakat Selangor (PZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). "Harga barangan dapur semakin tinggi. Saya juga perlu membiayai kos rawatan penyakit termasuk isteri yang mengalami masalah tulang belakang dan kos pengangkutan ke hospital. "Ini membuatkan jumlah bantuan RM750 yang diterima daripada dua badan terbabit, tidak mencukupi," luahnya kepada BH Online. Ibarat pepatah sudah jatuh ditimpa tangga, nasib Sazali, 62, semakin parah apabila jumlah royalti yang diterima daripada Badan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) bulan lalu, dakwanya, merosot 90 peratus. "Sebelum ini, jumlah kutipan banyak. Namun, pembayaran diterima bulan lalu cukup mengejutkan. Jumlah diagihkan berkurangan 90 peratus. "Sudah tentu, saya kecewa dengan apa yang berlaku. Walaupun dapat royalti setahun sekali, agihan ini dapat menampung kehidupan saya dan isteri. "Saya harap kemelut yang melanda badan kutipan royalti dapat diselesaikan segera agar hak penggiat seni dapat dibela," katanya yang pernah bekerja di Alam Flora sebelum menamatkan khidmatnya, lebih sedekad lalu. Enggan kenyataan disalah erti mana-mana pihak, Sazali yang pernah muncul dalam filem Ahmad Albab ketika kecil, menegaskan, luahan berhubung agihan royalti itu bukan bermakna dirinya tidak menghargai apa yang diberi, sebaliknya, sekadar mempertahankan hak. "Saya bersyukur dengan bayaran diberi. Cuma, sebagai pewaris, sudah tentu saya hendak tahu apa yang membuatkan jumlah kutipan merosot tahun ini," ujarnya ditemui pada program Ziarah FINAS Prihatin 2.0 di kediamannya di Semenyih, Selangor, kelmarin. Pada program itu, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, Zakaria Abdul Hamid menyerahkan sumbangan kepada Sazali. Walaupun arwah bapanya yang dipanggil 'Daddy' meninggal dunia ketika usianya masih kecil, namun, menurut Sazali, ingatannya terhadap P Ramlee tidak pernah terpadam. Malah, setiap kali melihat lakonan Allahyarham di kaca televisyen (TV), air matanya mengalir menandakan betapa rindu terhadap terhadap insan yang banyak berjasa kepada industri seni tanah air itu. "Banyak kenangan manis yang saya lalui bersama Daddy. Saya ingat lagi, ketika saya menjalani penggambaran di Batu Caves untuk filem Ahmad Albab. "Ketika itu, saya diarahkan untuk memegang watak anak jin. Masuk sahaja ke dalam gua, keadaan gelap gelita hingga menimbulkan rasa takut. "Melihat keadaan saya, Daddy memasang lampu dan suasana menjadi terang benderang. Barulah hilang rasa takut dan selesa untuk berlakon. "Tak dinafikan, setiap kali menyaksikan karya arwah di kaca TV, saya pasti akan menangis kerana rindu. "Apabila perasaan itu datang, saya akan sedekahkan surah Al-Fatihah buatnya. Selain itu, saya ada sekeping lukisan pemberian seorang peminat yang memaparkan wajah saya bersama Daddy. "Lukisan itu saya abadikan di ruang tamu dan menjadi pengubat lara setiap kali rasa rindu bertandang," katanya tersekat-sekat menahan sebak. Menjalani kehidupan berdua bersama Hamidah Hitam, 58, lebih tiga dekad lalu, Sazali dan isteri akur dengan ketentuan tidak dikurniakan cahaya mata sebagai pelengkap rumah tangga. Namun, itu bukanlah alasan rasa cinta yang disemai selama ini, layu. "Mungkin sudah bahagian kami untuk tidak dikurniakan zuriat. Kami terima itu sebagai suratan takdir. "Alhamdulillah, rumah tangga yang kami bina sejak lebih tiga dekad lalu, bahagia. Biarpun masing-masing tidak sihat, kami saling menjaga antara satu sama lain," katanya yang bersyukur dikurniakan Hamidah sebagai teman hidup. -CARI Sumber: Berita Harian
|
mrsLucky: Dian dan Sazali bukan anak angkat ker? Dapat royalti juga? I ingat anak kandung jer dapat. Cost of living sekarang memang tinggi. RM750 sebulan mem ...
tagas replied at 5-12-2020 12:31 PM
Dian
nassir
SKUTIL replied at 5-12-2020 08:09 PM
X silap ank betul p.ramlee Nasir dgn sorang lagi sapa tah...tapi sorang lg tu x nah tgok ...x pnah m ...
Suchi replied at 5-12-2020 12:30 PM
Sedih plak takde anak dahla dedua pun dah uzur teringat jiran kat kg kawen dah 40 tahun lebih rasany ...
kiah_mai_pulak replied at 6-12-2020 10:34 AM
dari muda smpai ke tua, duk meratib pasal idup susah n xdpt roayalti je.., kesian...
gideoncross replied at 6-12-2020 10:28 AM
Dian bukn org Chinese ke?
ADVERTISEMENT