TOKYO: Wabak selesema burung yang sedang merebak di Jepun menyaksikan virus itu dikesan di dua lagi wilayah, menyebabkan penakaian ratusan ribu ayam. Pihak berkuasa di wilayah Tokushima dan Miyazaki berkata jenis virus H5 itu, yang masih belum disahkan sebagai jenis yang amat patogenik, dikesan pada ayam dalam lingkungan kawasan berkenaan. Menurut laporan Kyodo News, kes di Tokushima menjadikannya wilayah ke-12 melaporkan penularan wabak selesama berkaitan dengan unggas tahun ini.
Ladang di Awa, Tokushima, yang bersempadan dengan wilayah Kagawa, juga lokasi pertama kes selsema burung dikesan tahun ini, menakai kira-kira 8,000 ekor ayam. Selain itu, 10 lagi ladang yang menternak kira-kira 175,000 ekor ayam dalam lingkungan tiga kilometer (km) dari ladang Tokushima yang terjejas akibat wabak itu. Pihak berkuasa tempatan kini melarang semua ladang terbabit memindahkan telur atau ayam dari premis masing-masing. Kerajaan tempatan Tokushima berkata, 44 ladang dengan 665,000 ekor ayam berada dalam lingkungan 10 km dari ladang yang terkesan. Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun turut menghantar pegawainya ke Tokushima untuk membantu mereka menguruskan wabak itu. Kes kelapan selsema burung tahun ini turut dilaporkan di ladang di bandar Miyazaki, dengan pihak berkuasa tempatan melaporkan penakaian kira-kira 34,000 ekor ayam sebagai langkah berjaga-jaga. Kes pertama di Jepun tahun ini dilaporkan di wilayah Kagawa pada awal bulan lalu, disusuli kes di wilayah Fukuoka, Hyogo, Miyazaki, Nara, Hiroshima, Wakayama, Oita, Okayama, Shiga dan Kochi. Sumber - AGENSI/BeritaHarian |
ADVERTISEMENT