Seorang wanita yang meminta pertolongan penggodam untuk menyiasat kes tipu, kini diugut pula penggodam berkenaan yang meminta bayaran 600,000 yuan (RM373,117). Polis di Foshan, Guangdong, China menerima laporan daripada wanita itu seperti dilaporkan portal Global Times.
Wanita itu mendakwa, dia mengupah khidmat penggodam berkenaan untuk menyiasat kes penipuan rakannya membabitkan wang 170,000 yuan (RM105,737). Rakannya dikenali sebagai Bai menjadi mangsa penipuan pada November tahun lalu. Selepas berputus asa, dia memberitahu wanita itu, Qing mengenai masalahnya. Qing kemudian meminta pertolongan daripada seorang bekas rakannya yang mendakwa mengenali penggodam yang dapat membantu mendapatkan wangnya kembali. Sejumlah 160,000 yuan (RM99,519) sudah diberikan sebagai yuran siasatan, sementara 1,144 yuan (RM711.56) atau 0.6 peratus dari jumlah asal sudah diperolehi.
Kedua-dua wanita itu kemudian mengatakan mereka tidak lagi mahukan bantuan penggodam, tetapi kumpulan terbabit mengancam akan membunuh mereka kecuali mereka memindahkan 430,000 yuan (RM267,457) ke akaun bank yang ditentukan. Polis tempatan menahan dua suspek pada 11 Disember lalu di sebuah pangsapuri di Pingzhou selepas meneliti kes itu dan mendapati penggodam terbabit sebenarnya adalah bekas rakan sekerja Qing. Sumber Harian Metro |
ADVERTISEMENT