Komposer dan penyanyi hip hop popular, Altimet teruja apabila van sumbangannya kepada Pertubuhan Wilayah Ummah Malaysia untuk dijadikan ambulans mampu guna hampir siap sepenuhnya. Berita gembira itu dikongsikan Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad di laman sosial.
"Ya, saya tahu satu ambulans saja kami mampu buat, rakyat Malaysia 30 juta lebih. Tapi, pelan-pelan kayuh. "Moga kenderaan ini boleh bawa manfaat buat kita semua. Terima kasih semua yang menyumbang," tulisnya. Altimet yang dihubungi berkata, dia sememangnya terbabit secara langsung dalam projek ini dengan pertubuhan berkenaan. "Mereka nak buat ambulans mampu guna untuk orang Malaysia. "Saya pula ada van syarikat ini. Jadi, saya beri mereka convert (tukar) van ini jadi ambulans jariah yang diinginkan.
"Jadi, kami sekarang dalam proses tukar van ini kepada ambulans. Sebelum Covid-19, van jenis Toyota Hiace ini kerap digunakan. "Namun, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana, memang jarang van ini digunakan. Jadi, kos untuk ubahsuai van dan sediakan kelengkapan di dalamnya berjumlah sekitar RM150,000," katanya kepada Harian Metro.
|
ADVERTISEMENT