Menurut Kementerian Kesihatan, hal ini berlalu berikutan persepsi minda yang tidak menyimpan banyak perkara yang signifikan dan tidak mencatatkan memori baru. Tambahan pula sejak pandemik, tiada lagi memori percutian indah, tiada lagi memori meraikan majlis ulangtahun dengan rakan rakan. Segalanya hanya aktiviti rutin yang sama. Maka hari hujung minggu atau cuti umum juga tidak lagi ada perbezaan.
Namun ianya berbeza semasa kanak kanak. Pada waktu ini, masa seminggu berlaku dengan panjang. Macam macam aktiviti dilakukan - ke sekolah, bermain, kelas mengaji, menonton Doraemon dan terutamanya ketika bulan Ramadan, fuhh, lama sungguh. Pada ketika itu, otak menerima semua perkara baru sebagai pengalaman baru dan ia diproses dengan lama sebagai memori jangka masa panjang. Dari segi sains, fenomena masa yang berlalu pantas ini berlaku kerana bumi kini sememangnya berputar dengan lebih pantas. Memetik laporan Astro Awani, saintis dari National Physics Laboratory, Peter Whibberley menyokong dakwaan tersebut. "Bumi telah berputar pada paksinya lebih cepat daripada lima dekad. Tahun 2020 telah menyaksikan beberapa hari terpendek yang tercatat dalam sejarah, dengan tahun 2021 diramalkan akan menjadi lebih pendek. Sudah tentu benar bahawa Bumi berputar lebih cepat sekarang daripada pada 50 tahun terakhir," dakwa Whibberley. Secara saintifiknya, kelajuan putaran Bumi sentiasa berubah-ubah kerana pergerakan kompleks melibatkan, lautan, dan kesan benda langit, termasuk Bulan. Faktor lain yang mempengaruhi kelajuan putaran bumi ialah kesan pemanasan global dan kepulan salji yang terkumpul di gunung. Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, masa atau waktu berlalu dengan pantas atau cepat adalah termasuk di dalam tanda-tanda hampir berlakunya Kiamat berdasarkan hadis sahih berikut: Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Maksudnya: "Tidak akan berlakunya Kiamat sehingga diangkat ilmu, banyaknya berlaku gempa, masa berlalu dengan pantas, terzahirnya fitnah-fitnah dan banyaknya pembunuhan." [Riwayat al-Bukhari (1036)] Masa berlalu dengan begitu pantas adalah disebabkan keberkatan masa telah hilang dalam kehidupan kita. Apabila ini berlaku, ini menandakan kurangnya amalan soleh yang dilakukan dalam kehidupan kita. Apapun, masa yang berlalu tidak akan kembali. Manfaatkanlah ia sebaik mungkin. - CARI
|
ADVERTISEMENT