Pernah mencetuskan fenomena pada era 1990-an hingga kumpulan nasyid tempatan, Raihan menarik perhatian Ratu Elizabeth II, genre muzik nasyid hari ini kian menyepi, malah, diibaratkan tinggal 'nyawa-nyawa ikan'.
Persoalan itu dibangkitkan pada sesi sembang santai, Bicara Awla melalui akaun Facebook (FB) kumpulan nasyid yang popular dengan lagu, Sepohon Kayu, Saujana, baru-baru ini. Pada zaman kegemilangan, kumpulan nasyid seperti Raihan, Rabbani, Hijjaz dan Inteam menjadi sebutan ramai, malah dianggap 'gergasi' muzik ketika itu. Namun, seiring peredaran zaman dan evolusi muzik, perlahan-lahan irama nasyid 'tenat' dan terpinggir.
Biarpun ada antara penggiat nasyid 'senior' masih aktif dan kumpulan nasyid pelapis muncul, ia belum mampu mengatasi magis yang dicipta dahulu. Anggota kumpulan Saujana, Suffian Amrin mengaku dilema itulah yang membelenggu dunia nasyid sekarang. "Saya lihat situasi sepi yang membelenggu dunia nasyid sekarang dalam dua sudut. "Pertama, pada era pandemik COVID-19, sama seperti genre muzik lain, genre nasyid terkesan apabila tiada tawaran persembahan selain sukar membuat rakaman baharu. "Sudut kedua adalah kesukaran mencari pewaris yang boleh menyambung legasi kumpulan nasyid kontemporari yang pernah memeriahkan dunia seni. "Walaupun genre muzik nasyid banyak melahirkan kumpulan pelapis, agak sukar untuk mereka menyerlah berbanding kumpulan nasyid 'senior'," katanya yang bertindak sebagai moderator sesi bual bicara virtual itu. Sesi hampir dua jam itu disertai anggota kumpulan Rabbani, Azadan, pengurus artis, Nasir Deraman dan anggota Awla iaitu Azalinor Abd Rahman, Zuhaidi Abd Aziz, Idzhar Jumali dan Azahari Abd Rahman. Awla adalah kumpulan nasyid baharu yang dibentuk hasil gabungan Saujana dan Nowseeheart. Berdasarkan pengalaman sendiri dan teman seperjuangan, Suffian berpendapat kumpulan nasyid pelapis perlu meneroka ruang publisiti yang lebih meluas untuk menonjol dan menjamin survival mereka dalam bidang muzik. "Tidak dinafikan, kebanyakan penyanyi nasyid baharu adalah anak-anak muda yang mempunyai kelebihan dalam aspek penguasaan media sosial. "Namun, aktif dalam media sosial sahaja tidak cukup. Mereka perlu menggunakan platform media arus perdana supaya perkembangan kerjaya seni dihebahkan dengan lebih meluas," katanya yang turut menganggotai kumpulan Awla. Berkongsi pendapat sama, Azadan menekankan pentingnya peranan syarikat rakaman dalam membantu perkembangan karier artis naungan. "Kami pernah duduk di bawah syarikat rakaman. Apabila kita bernaung di bawah label, kita ada pegawai perhubungan awam (PRO) dan pembantu peribadi. "Merekalah yang menjalankan tugas promosi. Sekarang, kita lihat ramai penyanyi nasyid pelapis yang memiliki single. Mereka juga aktif menerbitkan video muzik dan kreatif menghasilkan lagu saduran. "Tetapi, mereka tiada sokongan PRO yang boleh mengaturkan pertemuan dengan media dan pihak yang terbabit bidang penyiaran," katanya. Azadan percaya, PRO dan pengurus artis yang mengatur pertemuan dengan media, stesen radio dan televisyen (TV) dapat memberi pulangan baik dalam aspek hebahan atau publisiti, sekaligus mengimarahkan irama nasyid seperti dua dekad lalu. Sementara itu, Nasir melihat situasi yang berlaku kepada genre nasyid sekarang sebagai normal kerana muzik sering berevolusi. "Genre nasyid tidak terpinggir seperti yang disangka. Situasi ini berlaku kerana proses perubahan muzik mengikut masa. "Kita buatlah promosi bagaimana hebat sekali pun, kalau tiada permintaan, memang sukar untuk orang terima. Zaman sudah berubah. "Pendengar irama nasyid dahulu sudah berusia. Mungkin mereka tidak lagi mendengar radio," katanya. Justeru, Nasir menyarankan kumpulan nasyid pelapis membuat pembaharuan terutama daripada segi komposisi lagu yang seiring peredaran masa. "Kepada penyanyi nasyid muda yang hendak tembusi pasaran dan mencari peminat baharu, kena buat sesuatu mengikut aliran terkini asalkan tidak melanggar hukum syarak. "Mungkin mereka boleh bekerja dengan komposer yang bukan dalam kalangan industri nasyid. Kena berani keluar dari kepompong atau zon selesa "Apabila menghasilkan sesuatu, kita jangan fikir produk adalah untuk peminat sedia ada... Mereka akan tetap beri sokongan. "Sebaliknya, mereka perlu berpandangan jauh seperti mencari peminat baharu yang terus menyokong kerjaya seni sampai bila-bila," kata pengurus penyanyi, Andi Bernadee ini. Dengan legasi lebih dua dekad, Raihan pernah mengembara merentas enam benua termasuk Australia, Amerika Utara, Amerika Selatan, Eropah, Afrika dan Asia untuk membuat persembahan. Dalam usaha menghidupkan semula dunia nasyid, Kementerian Komunikasi dan Multmedia (KKMM), Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) dan Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (MUNSYID) menganjurkan Anugerah Nasyid Malaysia (ANAM) 2020, akhir tahun lalu. -CARI Sumber: Berita Harian
|
nakkomenjugak replied at 20-8-2021 11:25 AM
nasyid memang naik zaman iol sekolah rendah dulu
sampai raihan pernah datang sekolah iol
bebudaks ...
ADVERTISEMENT