"Sepanjang kerjaya, saya pernah beraksi di Sukan Sea di Filipina pada 2019 sehingga meraih pingat gangsa. Untuk Sukan Malaysia (Sukma) pula, saya bermain untuk pasukan Sarawak," ujarnya.
Jelas Razin yang kini bekerja dengan sebuah syarikat makanan di Cyberjaya, jauh di sudut hati dia rindu dan terkenang akan kenangan ketika bergelat atlet.
Namun katanya, dia reda dan berserah kepada rezeki untuk menceburi bidang lain dalam kehidupannya pada masa ini dan akan datang.
"Tipu kalau kata tak rindu. Kalau saya sihat, saya memang nak terus main taekwondo. Paling rindu tentunya suasana latihan.
"Ia membuatkan saya rasa ada sasaran dalam hidup. Setiap hari kita berlatih, kita akan tetapkan sasaran. Jadi hidup saya tak kosong," ujarnya.
Kata Razin lagi, selain bekerja dengan syarikat makanan, dia juga menemui minat baharu dalam hidupnya iaitu bidang perniagaan.
Jelasnya, dia sudah mencuba beberapa bisnes termasuklah dengan syarikat penapis air dan kini sedang fokus terhadap bisnes produk kolagen pula.
"Cabaran paling besar dalam bisnes merupakan rejection daripada pelanggan. Pada awal saya sertai bisnes, saya tak sedar akan hal itu.
"Mula-mula orang reject, saya rasa tak apa... esok ada lagi. Tapi akhirnya baru saya faham, saya belajar dengan pengalaman sendiri.
"Sukan dan bisnes ada cabaran tersendiri. Kalau atlet, cabarannya nak kena training, bagi komitmen dan disiplin untuk capai target. Bisnes pun ada target juga," ujar anak sulung daripada tiga beradik itu.
Kata Razin, dia memasang impian untuk mengeluarkan produk sendiri suatu hari nanti.
Pada masa sama, Razin tak menolak seandainya ada rezeki untuk dia bergelar jurulatih taekwondo suatu hari nanti.
"Ramai yang tanya kenapa berhenti sukan? Ada yang WhatsApp, ada yang direct mesage (DM). Jadi saya jelaskan baik-baik.
"Dulu jadi atlet, saya nak banggakan mak ayah sebab study saya tak berapa OK...saya cuma mampu banggakan mereka sebagai atlet.
"Biarpun famili sedih masa saya nak bersara, mereka beri sokongan kepada saya. Cuma sekarang saya kalau boleh nak ada produk sendiri. Kalau ada rezeki sebagai coach, saya tak menolak," ujarnya.
Dalam temubual sama, Razin sempat menzahirkan harapan agar pandemik di negara ini berakhir segera dan keadaan kembali pulih seperti sedia kala.
"Harap sangat Covid-19 berakhir segera. Moga ia reda dan keadaan kembali macam dulu.
"Saya dah lama jauh dengan keluarga. Kali terakhir balik Bintulu pada tahun 2018," ujarnya lagi.
Sumber: mStar