NUR Damia Irsalina ditemani ibu dan bapanya.
Kuala Berang: Walaupun dilahirkan cacat anggota tangan dan kaki, ia tidak mematahkan semangat Nur Damia Irsalina Daeng Malis, 7, untuk ke sekolah, semalam. Malah anak ketiga daripada empat beradik itu menjadikan faktor kekurangan diri sebagai motivasi untuk belajar seterusnya membuktikan kemampuannya yang sebenar. Nur Damia Irsalina yang tidak mempunyai dua tangan dan kaki kiri memulakan hari persekolahan pertama di Sekolah Kebangsaan Kuala Telemong (SKKT), di sini, itu dilihat bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk menuntut ilmu seperti rakan sebayanya, malah mempamerkan kemahirannya menulis menggunakan kaki kanannya.
Ibunya, Rosnaini Mohamad, 35, berkata, sejak kelmarin anaknya kerap mencuba pakaian sekolah selain berulang kali membelek alat tulis dan bukunya. “Kegembiraan jelas terpancar pada wajah Nur Damia Irsalina, malah dia sangat teruja untuk ke sekolah dan berjumpa kawan barunya. “Dia bangun awal hari ini (semalam) untuk ke sekolah dan menyediakan segala peralatannya sendiri selain enggan lewat sampai ke sekolah,” katanya ketika ditemui di SKKT, di sini, semalam. Katanya, bagi memastikan anak istimewanya itu mendapat perhatian dan dibesarkan dengan baik selain dapat mengikuti sesi pembelajaran dengan sempurna, dia terpaksa berhenti kerja. “Nur Damia Irsalina menggunakan kerusi roda elektronik bagi memudahkan pergerakannya di sekolah dan saya berharap rakannya serta guru dapat sentiasa membantunya. “Sikapnya yang suka berdikari dalam menguruskan dirinya memang membanggakan saya dan keluarga. Sebagai ibu, saya terlalu gembira melihat semangat kentalnya. “Memandangkan dia terlalu bersemangat untuk ke sekolah dan baju sekolah yang dijual di pasaran tidak sesuai untuknya, saya sanggup menempah lima pasang baju sekolah khas untuknya,” katanya yang tinggal di Kampung Lubuk Batu, di sini. Menurutnya, Nur Damia Irsalina bukan saja mampu menulis menggunakan kaki kanannya, malah berkemampuan menghafaz surah lazim selain mampu mengikuti pembelajaran di tadika tanpa sebarang masalah sebelum ini. “Saya sebolehnya ingin melihat Nur Damia Irsalina melalui proses ke alam dewasa seperti kanak-kanak normal yang lain seperti belajar, mempunyai kawan karib dan paling penting mencapai cita-citanya,” katanya. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-Tugas Khas Terengganu Ghazali Taib berkata, pihaknya akan meminta bantuan daripada Kolej Universiti TATI (TATIUC) untuk mencipta kerusi roda paling sesuai dan praktikal bagi memudahkan pergerakan Nur Damia Irsalina. “TATIUC mempunyai kepakaran dalam menghasilkan peralatan elektronik seperti itu. Justeru, kami yakin TATIUC mampu mencipta kerusi roda paling sesuai untuk memudahkan pergerakannya. “Saya begitu terharu dan bangga melihat kesungguhan Nur Damia Irsalina untuk ke sekolah dan seharusnya dijadikan teladan serta contoh oleh pelajar lain,” katanya kepada pemberita selepas melawat kanak-kanak itu di SKKT, semalam.
|
noor2 posted on 2-1-2014 10:55 AM
...sedihnya hati tgk...i dah tunjuk kat anak sebelum dia pi sekolah petang sat ni....jadi pand ...
ADVERTISEMENT