[size=0.8]Oleh Zuliaty Zulkiffli - Ogos 19, 2021 @ 12:13pm[email protected]
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/bjera2_1629346360.jpg)
Keadaan fenomena kepala air yang berlaku di Gunung Jerai petang semalam mengakibatkan banjir di beberapa kawasan. - Foto NSTP/Ihsan pembaca
ALOR SETAR: Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) mengeluarkan amaran cuaca waspada iaitu hujan lebat di beberapa daerah di negeri ini selama dua hari, bermula hari ini.
Pengarah Pejabat Met Malaysia Kedah, Muhammad Khalil Abdul Aziz, berkata hujan lebat itu dijangka membabitkan daerah Yan, Kota Setar, Kubang Pasu, Pokok Sena, Kuala Muda, Bandar Baharu, Pendang, Kulim dan Langkawi.
Beliau berkata, amaran dikeluarkan untuk penduduk di sebahagian negeri di pantai barat Semenanjung supaya mengambil langkah bersiap sedia.
"Kita jangkakan hujan lebat akan berlaku hari ini dan esok iaitu pada 19 dan 20 Ogos yang boleh mengakibatkan berlaku banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan yang berisiko tinggi.
"Ia juga boleh menyebabkan berlakunya kejadian kepala air seperti yang berlaku semalam (Gunung Jerai)," katanya ketika dihubungi hari ini.
Muhammad Khalil berkata, hujan lebat dijangka berlaku pada sebelah petang hingga malam dalam tempoh dua hari itu.
Sehubungan itu, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya mengelak berada di lokasi yang berisiko untuk mengelakkan tragedi sama berulang.
"Penduduk di kawasan rendah juga dinasihatkan mematuhi arahan pihak berkuasa supaya berpindah sekiranya paras air meningkat, terutama di kawasan berhampiran sungai.
"Mereka perlu mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya hujan lebat dan bersedia untuk berpindah ke tempat selamat. Ketika ini kita masih berada dalam monsun barat daya dan zon penumpuan angin kini di kawasan utara Semenanjung yang menyebabkan hujan lebat seperti yang dialami semalam," katanya.
BH semalam melaporkan, tiga kakitangan Jerai Hill Resort, terselamat manakala seorang lagi masih hilang selepas terperangkap dalam kejadian kepala air di Gunung Jerai.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, seorang daripada kakitangan terbabit cedera di bahu dan dihantar ke hospital menggunakan khidmat EMRS Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah.