[size=0.8]Oleh Zuhainy Zulkiffli - Ogos 20, 2021 @ 9:15pm[email protected]
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/gon20_1629465321.jpg)
Hasnol Zam Zam (dua dari kanan) bertanya khabar kepada penerima vaksin di Program Vaksinasi Barisan Hadapan Ekonomi Sektor Peruncitan (RIVAC), Pulau Pinang, hari ini. - Foto NSTP/MIKAIL ONG
GEORGETOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengadakan Ops Samar bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) premis perniagaan.
Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, berkata penguat kuasa akan berpakaian biasa bagi memantau 22 subsektor perdagangan dan pengedaran yang dibenarkan beroperasi menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Katanya, kira-kira 2,000 pegawai dan anggota penguat kuasa akan menyemak MySejahtera pelanggan, selain memastikan hanya pelanggan yang sudah lengkap dua dos vaksin boleh makan di dalam restoran.
"Tumpuan akan diberikan di kawasan panas yang menyediakan kemudahan makan di dalam atau premis yang memerlukan peniaga dengan pelanggan berada pada jarak dekat, seperti kedai gunting rambut atau cermin mata.
"Kita minta supaya orang ramai memaatuhi SOP kerana anda sedang diperhati oleh penguat kuasa," katanya hari ini.
Hasnol Zam Zam ditemui selepas meninjau Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC).
Turut hadir ialah Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar.
Hasnol Zam Zam berkata, RiVAC sudah dilaksanakan di beberapa lokasi termasuk di luar Lembah Kelang, iaitu di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka.
Katanya, program itu akan diperluas di tiga negeri lagi iaitu Perak, Pahang dan Kedah sebagai usaha bagi mempercepat imuniti kelompok.