[size=0.8]Oleh Ramli Ibrahim - Ogos 22, 2021 @ 10:12am[email protected]
Bakul makanan sumbangan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V diagihkan kepada penduduk Orang Asli sekitar Pos Brooke. - Foto NSTP/Ramli Ibrahim
GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli di sekitar Pos Brooke menerima 100 bakul makanan sumbangan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, dekat sini, semalam.
Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan, Bidi Ronggeng, berkata sumbangan bakul makanan itu untuk penduduk yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan diagihkan di 12 kampung Orang Asli.
Kampung terbabit ialah Kampung Bahong; Sigar; Jedip; Brooke Lama; Kampung Liak; Rengil; Kingkong; Jekjok; Insept; Jelgot A; Mendrop; dan Hendrop.
"Pengagihan bakul makanan itu dibuat secara berperingkat dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"Bagaimanapun, pengagihan itu tidak membabitkan kampung Orang Asli yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Bidi berkata, bermula 30 Julai lalu enam kampung kaum itu dikenakan PKPD selama dua minggu susulan ramai yang positif selepas saringan COVID-19.
Katanya, sehingga 12 Ogos, tiga kampung sudah ditamatkan PKPD manakala tiga lagi kampung iaitu Kampung Jedip WCT, Sendrop dan Sengsang disambung sehingga 26 Ogos ini.