|
Kuala Lumpur: Pasukan nombor satu Asia Tenggara, Vietnam sekali lagi menjadi pengacau skuad Harimau Malaya apabila kedua-duanya diundi dalam kumpulan B saingan Piala AFF 2020 pada Disember ini.
Menerusi Majlis Undian yang dilakukan secara maya di Singapura hari ini, skuad negara dan Vietnam yang mara ke pentas final pada edisi 2018 lalu, turut bakal dicabar tiga lagi pasukan iaitu Indonesia, Kemboja dan Laos.
Manakala, Kumpulan A pula menyaksikan Thailand mengetuai kumpulan itu dengan Singapura, Myanmar, Filipina dan pemenang pusingan kelayakan antara Brunei atau Timor Leste akan melengkapkan saingan itu.
Kempen itu bakal dilangsungkan dari 5 Disember ini sehingga 1 Januari depan, dengan format pertandingan diubah apabila kesemua aksi hanya akan dilangsungkan di satu buah negara sahaja.
Untuk rekod, Malaysia adalah naib juara pada edisi 2018 selepas tewas kepada Vietnam dengan 3-2 secara agregat. - HMetro
|
|