CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 56681|Reply: 111

Prof Ungku Aziz

[Copy link]
Post time 12-5-2006 10:07 AM | Show all posts |Read mode
Akum,

Anyone knows apa2 good article or books on him?

Saya baru terbaca satu artikel yg ada response dr ungku and it was very interesting. And sekrg tgh gila2 mencari psl his other thoughts.

Kalau sesiapa ada apa2 maklumat. boleh share kan bersama?

tx.


_spe@k_

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 12-5-2006 02:44 PM | Show all posts

interview dgn prof. diraja ungku aziz

tahun lepas punye utusan - 15/5/2005

Hidup bukan Que Sera, Sera'' - Usaha capai keperibadian unggul bergantung kepada diri sendiri

MUKADIMAH
PROF. Diraja Ungku Aziz tertawa kecil apabila dua kali diajukan pertanyaan tentang Anugerah Melayu Terbilang yang diterimanya sempena sambutan ulang tahun ke-59 UMNO.

"Saya sebenarnya takut. Secara peribadi (anugerah) ini membimbangkan saya kerana menjadi terbilang bermakna lebih tinggi daripada orang lain.

"Saya tidak fikir sesiapa saja yang berjaya suka merasakan dirinya lebih tinggi daripada orang lain, melihat semua orang lain duduk di bawah,'' kata Pak Ungku kepada wartawan petang kelmarin.

Temu bual tersebut diatur untuk mencungkil pandangan beliau mengenai personaliti Melayu unggul serta usaha-usaha yang harus dilakukan untuk mencapai cita-cita itu.

"Kalau kita hendak kenal orang Melayu yang unggul dan berjaya, atau mahu mewujudkan acuan yang boleh dicontohi, kita sebenarnya bercakap tentang hal-hal yang sepatutnya ada pada orang Melayu,'' katanya.

Pak Ungku menggariskan beberapa cabaran yang perlu diselesaikan dalam usaha untuk membentuk personaliti yang diharap akan dapat mengangkat martabat orang Melayu itu.

Beliau menyentuh soal pendidikan dan mencadangkan beberapa perubahan yang harus diambil untuk melahirkan generasi masa akan datang yang unggul. Beliau menyebut juga tentang pentingnya sukan bagi melahirkan masyarakat yang sihat.

Pak Ungku juga mengulangi keyakinan yang dipegangnya tentang hubung kait antara pemakanan yang seimbang dan kecemerlangan bangsa - teori yang dipegangnya sejak membuat kajian tentang pembasmian kemiskinan pada tahun 1970-an.

Tetapi ada satu lagi perkara penting yang dibangkitkan oleh tokoh akademik yang kuat membaca ini. Beliau menyarankan semua orang Melayu supaya membaca buku tulisan Pendeta Za'ba, Perangai Bergantung kepada Diri Sendiri.

"Dalam buku itu ada amanat penting Za'ba yang menunjukkan jalan bagaimana orang Melayu boleh berjaya dan menjadi unggul,'' katanya.


MINGGUAN: Bagaimanakah kita boleh melahirkan Melayu unggul? Apakah yang seharusnya dilakukan?

UNGKU AZIZ: Kita perlu terlebih dulu memahami perjalanan hidup manusia atau apa yang disebut oleh William Shakespeare sebagai tujuh peringkat umur manusia. Ini proses hidup yang lazimnya dialami oleh setiap orang. Dalam melalui satu demi satu peringkat umur itu, cabaran yang kita hadapi ialah bagaimana hendak mengenal jalan ke arah kesempurnaan - untuk jadi berjaya dan unggul - serta memahami falsafah-falsafah yang berkaitan.

Saya sebenarnya banyak terpengaruh dengan buku yang ditulis oleh Pendeta Za'ba iaitu Perangai Bergantung kepada Diri Sendiri. Saya suka hendak mengulang falsafah yang diungkapkan oleh Za'ba bahawa kejayaan seseorang itu bergantung kepada diri sendiri.

Semuanya datang daripada diri kita sendiri. Berapa banyak pun seseorang itu berdoa tidak ada jaminan bahawa dia akan mendapat apa yang diinginkan melainkan melalui usaha. Kalau berusaha, kemungkinan untuk dia mendapatkannya ada.

Apa kaitannya falsafah Za'ba itu dengan peringkat umur manusia?

UNGKU AZIZ: Mencari keunggulan adalah satu usaha. Semasa berumur sekitar 15 tahun, seseorang itu umumnya tidak begitu bertanggungjawab - ada tanggungjawab tetapi tidak banyak. Apabila meningkat dewasa tanggungjawab itu bertambah, dan beban mencari kesempurnaan juga bertambah.

Masa depan seseorang apabila dewasa - apa yang akan berlaku apabila umur meningkat - bergantung kepada apa yang dilakukannya semasa remaja. Kalau pada peringkat awal sudah tidak betul, kesannya juga mudarat. Ini sesuatu yang sangat serius.

Kalau sudah dewasa dan sudah menentukan hidupnya sendiri, persediaan seseorang itu untuk menghadapi hidup seharusnya sudah lengkap. Itu sebabnya saya melihat zaman remaja sebagai satu tempoh yang sangat penting dalam kita hendak membentuk peribadi yang dikatakan unggul itu.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Post time 12-5-2006 02:45 PM | Show all posts
sambung....


Kenapa golongan remaja?

UNGKU AZIZ: Kalau kita mahu membina personaliti unggul kita harus melihat kepada remaja. Kalau hendak melentur buluh biarlah daripada rebung. Masa depan itu ada di tangan mereka. Ini bukan satu pandangan yang klise tetapi ini realiti. Gambaran masa depan kita ialah bagaimana keadaan remaja pada hari ini.

Tidak ada orang yang dewasa tanpa melalui zaman remaja. Orang banyak terlupa tentang hakikat ini. Kita tidak ada pilihan sebenarnya - bagaimana keadaan kita pada hari ini begitulah keadaannya pada masa depan.

Bagaimana Pak Ungku melihat remaja hari ini?

UNGKU AZIZ: Kita jangan terlalu cepat menyalahkan remaja, mengatakan mereka hanya suka melepak, pemalas dan banyak angan-angan. Kita sepatutnya cuba memeriksa bagaimanakah keadaannya menjadi remaja pada zaman ini, pada tahun 2005 ini.

Ini topik kegemaran saya sejak kebelakangan ini. Saya sebenarnya banyak memikirkan hal ini: Bagaimanakah kita boleh memahami masalah utama remaja Melayu pada hari ini? Ada banyak masalah, dan masalahnya pelbagai.

Tetapi pada umumnya saya rasa remaja hari ini mengalami krisis jati diri. Mereka tidak dapat menjawab dengan tegas soalan yang ditanya oleh (ahli falsafah) Socrates: ``Siapakah aku?''

Kepada saya, setiap remaja sepatutnya selalu bertanyakan soalan itu kepada diri sendiri, dan harus ada jawapan yang memuaskan hati.

Kenapa soalan itu?

UNGKU AZIZ: Hidup ini bukanlah seperti lagu Que Sera, Sera - apa hendak jadi biarlah terjadi. Masa depan itu terpulang kepada kita sendiri. Ini berbalik kepada falsafah Za'ba bahawa perangai bergantung kepada diri sendiri.

Apakah krisis identiti yang dihadapi oleh remaja Melayu?

UNGKU AZIZ: Remaja pada umumnya tidak dapat mengenal jati dirinya sendiri. Kenapa jadi begini? Ini teori saya; kalau salah, salahlah saya. Saya bertanggungjawab sepenuhnya.

Saya rasa orang yang hendak mencari jati diri mesti boleh bertanya dan menjawab soalan Socrates itu. Tetapi mereka pada hari ini sukar hendak menjawab soalan itu kerana disimbah dengan pelbagai jenis identiti gantian. Inilah masalahnya.

Saya minta maaf kerana terpaksa menyebut siapa yang bertanggungjawab besar dalam perkara ini... (ketawa)

Media, maksudnya?

UNGKU AZIZ: (Ketawa) Inilah masalah yang paling besar. Media membentuk identiti dan jati diri mereka kerana medialah yang mewujudkan, membentuk dan membina celebrity.

Orang tertarik kepada celebrity dan kemudian meresap masuk ke dalam identiti yang dibina itu. Lihat saja identiti celebrity yang dibentuk oleh media, baik melalui iklan atau penyanyi, orang paling kuat, paling lemah, paling kacak dan sebagainya.

Minda remaja ini diserang seperti dihujani peluru dengan pelbagai jenis identiti kecil daripada para celebrity ini. Akibatnya mereka tidak dapat membuat pilihan. Mereka tidak dapat memastikan dengan tegas dan yakin tokoh yang harus mereka ikuti.

Media ini pula datang dalam pelbagai bentuk - cetak dan elektronik atau maya. Media maya ini paling efisien dan berkesan, paling merosakkan berbanding yang lain. Orang terbuai dengan media sama seperti tikus-tikus dalam cerita Pemain Seruling dari Hamlin.

Inilah yang berlaku sekarang. Pemain seruling itu sekarang ialah media. Orang yang menguasai media memanipulasikan keadaan dengan membina celebrity. Celebrity itu sekarang menjadi model kecil kepada remaja sehingga mereka merasakan ``kalau dapat jadi seperti itu, cukuplah.''

Kepada golongan remaja, konsep keunggulan itu merujuk kepada model celebrity yang dilihatnya melalui media. Tetapi pada masa yang sama mereka sendiri barangkali cukup insaf bahawa mereka mungkin tidak dapat jadi seperti itu.

Insaf, kenapa?

UNGKU AZIZ: Kita lihat iklan katakanlah hendak menjual rokok, misalnya. Jadi ditunjukkan lelaki pakai tali leher dan sut turun dari kereta mewah masuk ke hotel dan ada perempuan cantik menunggunya. Dia kemudian menghisap rokok jenama yang diiklankan itu.

Remaja yang melihat iklan ini tadi cuma tinggal hisap rokok saja. Dia tidak dapat apa-apa, tidak ada kereta mewah, tidak ada perempuan cantik dan tidak ada tali leher. Ini satu tragedi. Kita umpan remaja yang mencari model dengan gambaran imej seperti itu. Imej itu bukan realiti, dan ia mengelirukan remaja yang masih mencari-cari identiti.

Mereka tidak dapat menangkap makna identiti dan jati diri. Jati dirinya lemah kerana ia dibentuk daripada imej-imej yang bukan realiti. Remaja tertawan kepada imej-imej itu kerana ia membuatkan mereka rasa seronok dan menarik. Tetapi semuanya hanya angan-angan. Ini sama seperti cerita usahawan yang berangan-angan macam Mat Jenin - suatu hari nanti mahu ada pejabat, ada setiausaha cantik dan sebagainya.

Apa salahnya berangan-angan?

UNGKU AZIZ: Angan-angan ini memuaskan diri dalam jangka masa pendek tetapi kalau terlalu berangan-angan mereka boleh terjerumus terlibat dengan dadah. Statistik menunjukkan majoriti yang terlibat dengan dadah ialah Melayu. Tidak cukup dengan fantasi di rumah mereka berkhayal melalui dadah. Saya tahu tidak semua remaja terlibat tetapi sebahagian besarnya ialah mereka yang berangan-angan ini.

Saya fikir nisbah lelaki yang hidup dalam angan-angan jauh lebih besar berbanding wanita, boleh dikatakan dua pertiga. Majoriti remaja wanita lebih stabil, kurang angan-angan dan ada imej yang jelas tentang matlamat hidup masa depan. Itu sebabnya sekitar 70 peratus pelajar di universiti hari ini ialah wanita. Ini bukti bahawa jati diri gantian ini mempengaruhi lebih ramai lelaki berbanding wanita.

Malah kalau kita kaji, remaja lelaki Melayu jugalah yang paling banyak di pusat permainan video. Remaja wanita tidak banyak yang bermain permainan video kerana mereka realist. Mereka ada cita-cita dan mahukan kebebasan. Mereka tahu kalau ada kerja, mereka ada kebebasan. Cita-cita mereka realistik.

Krisis identiti ini lebih bahaya di kalangan lelaki berbanding wanita. Kalau kita hendak membina Melayu yang unggul kita perlu mengukuhkan jati diri terutamanya di kalangan remaja lelaki. Kita harus ada keseimbangan kuasa dalam masyarakat antara lelaki dan wanita.

Bagaimana hendak membentuk jati diri yang betul di kalangan remaja?

UNGKU AZIZ: Kita mesti berbalik kepada pendidikan kerana ia menentukan masa depan. Kalau tidak rajin belajar, mereka akan banyak berpoya-poya, hidup berangan-angan dan duduk melepak. Ini semua fenomena sosial yang melemahkan remaja Melayu. Kita perlu mengubahnya dengan segera tetapi ia tidak mudah.

Kita juga harus menanam hidup yang lebih berdisiplin. Kenapa misalnya di Jepun dan Switzerland, orang tahu berbaris tetapi di sini semua orang berebut-rebut hendak ke depan? Tidak ada disiplin sosial.

Kita juga harus menanam sifat jujur dan amanah. Kalau jumpa dompet di tengah jalan kita pulangkan. Tetapi dalam masyarakat kita orang yang buat begitu adalah golongan yang terkecuali. Ia tidak normal, dan apabila berlaku ia jadi bahan berita. Malah orang merasakan kalau jumpa dompet di tengah jalan itu rezeki. Konsep rezekinya pun sudah salah.

Kesedaran tentang nilai-nilai murni ini mesti dibina dari awal. Pada fikiran saya, pergerakan pengakap di sekolah dulu boleh menanam nilai-nilai ini. Sekarang ia sudah dipolitikkan.

Apa lagi yang perlu kita tanam kepada remaja?

UNGKU AZIZ: Sifat kesetiaan dan patriotisme. Kepada saya, remaja yang dipanggil tetapi tidak pergi ke Program Latihan Khidmat Negara itu dalam jati dirinya tidak ada nilai patriotisme. Kita tidak boleh melihatnya sebagai hero. Kalau patriotik, apabila dipanggil dia mesti pergi. Itu satu tanggungjawab.

Remaja juga harus berani buat apa saja, bersedia pada bila-bila masa. Ini sifat yang kepada saya harus ada tidak kira pada semua orang yang mahu berjaya. Kalau hendak membina remaja yang unggul apabila dewasa kita kena pastikan mereka ada nilai-nilai ini - berdisiplin, berani, jujur, amanah dan patriotisme. Ini boleh kita buat melalui pendidikan tetapi kena fokus.

Apakah kita perlu mengetengahkan model-model baru kepada remaja?

UNGKU AZIZ: Barangkali model itu ada tetapi kita simpan dalam almari (ketawa). Kita kena keluarkannya dari almari dan gilap sedikit. Kalau kita melihat tempoh 100 tahun yang lalu, saya fikir model itu banyak.

Malah dalam sejarah juga ada tokoh-tokoh yang boleh dijadikan model, Hang Tuah misalnya. Dia mungkin tidak pernah wujud tetapi sifat-sifatnya boleh kita baca dalam Hikayat Hang Tuah. Dia perkasa, suka menuntut ilmu dan belajar banyak bahasa. Dia juga setia; baik atau buruk kesetiaannya itu, usah ditanya.

Sifat-sifat terpuji daripada model-model inilah yang akan membina realiti, melahirkan remaja yang akan jadi pemimpin masa depan yang memberikan harapan kepada bangsa. Kita tidak akan melahirkan manusia unggul dengan bercakap-cakap saja.

Apakah yang tidak harus ada pada orang Melayu untuk menjadi unggul?

UNGKU AZIZ: Harus tahu membezakan antara realiti dan fantasi. Orang muda hari ini lebih cenderung kepada angan-angan kerana pengaruh media yang saya sebutkan tadi, terutamanya media elektronik.

Usaha ini banyak bergantung kepada media?

UNGKU AZIZ: Ya, kerana media ada hubungan langsung dengan kelompok ini. Pada masa yang sama perlu juga ada peranan ibu bapa dan guru. Semua pihak bertanggungjawab. Kita tidak boleh sapu rata salahkan media saja - kononnya kalau baik media, semuanya akan baik. Tidak begitu. Para pemimpin juga ada peranannya. Suka atau tidak suka, mereka adalah model yang unggul; seharusnya begitulah.

Kalau orang mahu berjaya mereka harus membetulkan diri sendiri. Jangan jadi seperti Enron dan WorldCom yang melahirkan tokoh-tokoh korporat berjaya tetapi mengerjakan duit orang beratus bilion. Itu bukan model yang baik.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Post time 12-5-2006 02:45 PM | Show all posts
Apa yang boleh dilakukan oleh ibu bapa?

UNGKU AZIZ: Berikan perhatian kepada pemakanan anak-anak mereka. Masalah kritikal orang Melayu sejak berpuluh tahun lalu ialah umumnya saiz badan mereka kecil. Mengikut teori saya, 90 peratus masalah ini berpunca daripada makanan.

Kalau kita lihat orang yang masuk tentera atau yang keluarganya berpendapatan tinggi yang mendapat makanan lebih baik, saiz tubuh mereka lebih besar, tinggi dan lebih sihat.

Masalah saiz kecil ini boleh ditangani pada zaman awal praremaja, semasa kanak-kanak. Tujuh tahun pertama dalam hidup manusia adalah tempoh pembesaran fizikal yang penting. Kalau tidak dapat makanan yang seimbang ketika itu, pembesarannya akan terganggu.

Kalau mahu jadi bangsa yang unggul orang Melayu mesti bersaiz lebih besar.

Apa hubung kaitnya?

UNGKU AZIZ: Cuba kita lihat di sekeliling kita. Orang yang berjaya biasanya tubuh mereka besar dan tinggi, bahu mereka lebar. Ini semua datang daripada pemakanan yang baik.

Pemakanan bukan saja mempengaruhi saiz badan tetapi lebih penting pembinaan otak. Otak mereka lebih cekap seperti bateri yang sudah dicas dengan baik. Otak kita ini seperti bateri. Kita charge otak dengan makanan yang berzat dan seimbang. Kita harus melakukannya dari sekolah rendah.

Bagaimana?

UNGKU AZIZ: Kita harus mula menyusun program makanan yang lebih baik dan menyeluruh untuk sekolah-sekolah. Sekarang kita buat tetapi tidak di semua sekolah dan tidak teratur. Kenapa tidak kita mula menyediakan makan tengah hari yang seimbang dengan lebih sistematik, sehari sekali di sekolah?

Kanak-kanak yang membesar harus makan paling kurang sebiji telur seminggu. Tetapi ia tidak berlaku kerana sesetengah orang Melayu tidak mampu. Apatah lagi sekarang ini harga telur dan makanan keseluruhannya sudah naik.

Tetapi saya percaya usaha ini boleh dilakukan oleh kerajaan. Kalau kita percaya bahawa remaja adalah harapan masa depan, kita harus mula membina mereka sejak peringkat praremaja lagi. Kita harus menjaga anak harapan bangsa ini sejak dari kecil lagi.

Apa lagi selain menjaga makanan?

UNGKU AZIZ: Jaga kesihatan dengan bersukan. Kita boleh melahirkan manusia unggul melalui sukan. Kita harus galakkan orang menjadikan sukan sebagai satu cara hidup. Tetapi sekarang sudah terbalik - kita cari juara, beri duit dan jadikan mereka celebrity. Ini melampau. Kita tidak harus sampai ke tahap itu.

Melalui sukan orang akan jadi lebih sihat, kuat dan aktif. Kita galakkan orang bersukan bukan untuk menang tetapi semata-mata untuk bersukan. Apa salahnya kita galakkan bersukan untuk suka-suka. Kalau mahu mencari keunggulan kita harus juga melihat kepada aspek sukan kerana ia ada kaitan dengan kesihatan.

Pak Ungku sudah membincangkan tentang perubahan sikap, pemakanan dan kesihatan. Bagaimana dengan pendidikan?

UNGKU AZIZ: Apabila sampai kepada satu peringkat golongan remaja akan mula matang fikirannya. Mereka mula berfikir. Kita harus ada satu sistem yang lebih baik untuk mengajar orang berfikir. Kepada saya, salah satu kelemahan sistem pelajaran kita pada hari ini ialah ia tidak mengajar orang berfikir.

Para pemimpin kita selalu bercakap tentang masyarakat inovatif dan kreatif. Tetapi bagaimana mahu melahirkan masyarakat seperti itu kalau mereka tidak diajar untuk inovatif dan kreatif? Ia perlu diasuh dan dipupuk dari awal.

Apakah sistem pendidikan kita membantu pembentukan bangsa unggul?

UNGKU AZIZ: Saya fikir ada banyak kekurangan dan kelemahannya. Ini hakikat yang perlu saya suarakan. Kalau ada menteri-menteri yang hendak marah dengan kenyataan ini, tidak mengapa. Saya pun sudah 83 tahun (ketawa), tidak kisah apa-apa lagi. Saya hanya menyuarakan pandangan, bukan untuk mengenakan sesiapa.

Kita harus memikirkan hala yang hendak kita tuju, dan menyusun langkahnya dari situ. Selepas itu jangan ditukar-tukar separuh jalan.

Apakah yang menghalang orang Melayu untuk menjadi unggul?

UNGKU AZIZ: Ini terpulang kepada diri masing-masing, berbalik kepada apa yang saya petik daripada Za'ba di awal tadi. Saya sudah sebut sebelum ini, dan saya hendak ulang lagi: Buku Za'ba itu adalah bacaan wajib untuk semua orang Melayu.

Secara ringkas, apa yang dikatakan oleh Za'ba dalam bukunya itu ialah kalau ada keyakinan kita boleh melakukan apa saja. Kita boleh menjadi unggul tetapi usaha itu bergantung kepada diri kita sendiri. Malah apa yang disebut oleh Za'ba itu adalah falsafah yang digali daripada ajaran al-Quran.

Itulah yang harus kita tekankan kepada remaja hari ini. Ini soal mahu atau tidak mahu, mahu lebih atau mahu kurang - pilihan masing-masing. Tetapi kalau pemikirannya terkongkong oleh model-model kecil yang dibentuk oleh media, mereka akan sukar membuat pilihan kerana tidak boleh berfikir. Mereka hendak bergembira saja tetapi hidup ini bukan bergembira sepanjang masa. Ini masalahnya.

Orang selalu bercakap tentang sifat-sifat negatif Melayu - malas dan suka buang masa, misalnya - sehingga menimbulkan rasa rendah diri untuk mereka maju. Apa pandangan Pak Ungku dalam hal ini?

UNGKU AZIZ: Sifat malas itu ada kaitannya dengan kemiskinan dalam masyarakat. Dari segi ekonominya, kemiskinan menyebabkan orang tidak ada tenaga kerana tidak mendapat pemakanan yang baik.

Rasa rendah diri pula sifat yang sudah lama ada dalam jiwa orang Melayu. Ini soal budaya. Tetapi orang yang menjadi berjaya adalah mereka yang mampu mengeluarkan diri daripada kepungan budaya itu -Êkepungan budaya yang ada dalam minda.

Ia boleh diatasi, bergantung kepada diri sendiri. Tidak ada yang mustahil. Tidak ada apa-apa yang menghalang orang Melayu untuk menjadi unggul.

Pak Ungku pernah sebut sesetengah orang Melayu yang berjaya daripada Dasar Ekonomi Baru ibarat kacang lupakan kulit; tidak membantu anak bangsa lain berjaya sama. Tidakkah mereka boleh menjadi pemangkin pembinaan Melayu unggul ini?

UNGKU AZIZ: Ini bukan soal boleh tetapi itulah yang sepatutnya. Siapa lagi kalau bukan mereka?

Pak Ungku telah mengupas tentang zaman remaja yang cukup kritikal dalam pembinaan sahsiah bangsa. Pak Ungku semasa remaja bagaimana?

UNGKU AZIZ: Zaman saya remaja sekitar tahun 1930-an dan 1940-an dulu adalah satu zaman yang sama sekali berlainan, zaman perang. Tetapi saya bekerja kuat kerana yakin bahawa kejayaan adalah dengan memiliki ijazah. Jadi saya belajar bersungguh-sungguh.

Arwah ayah tidak banyak mempengaruhi saya, tidak banyak meninggalkan nasihat. Dia hidup dalam dunianya sendiri tetapi dari semasa ke semasa kami berbincang juga. Dia banyak meninggalkan saya dengan dunia saya sendiri. Tetapi ada satu perkara yang dia tekankan: Kalau tidak berjaya dalam pelajaran kamu tidak akan jadi sesiapa.

Dia nasihatkan bahawa dalam apa keadaan saya mesti belajar kerana kejayaan itu datang daripada usaha kita belajar. Ini tidak ada galang-gantinya. Dia menanam dalam dada saya bahawa kejayaan akan datang dengan belajar bersungguh-sungguh. Jadi semasa di English College, Johor Bahru saya belajar bersungguh-sungguh. Selepas ayah meninggal pada tahun 1939, saya jadi anak yatim piatu. Ibu meninggal semasa saya umur 4 tahun. Semasa itu pun saya tidak suka pergi kepada ahli keluarga untuk minta bantuan. Apabila bapa saudara saya (Datuk Onn Jaafar) jadi Menteri Besar Johor pun saya tidak rasa saya perlu minta kerja, sokongan atau duit daripada dia.

Saya pernah jadi kerani semasa menunggu keputusan peperiksaan. Apa yang saya buat itu adalah sebahagian daripada usaha untuk berjaya, pemikiran yang sudah tertanam dalam diri saya. Saya tidak kisah jadi kerani untuk cari duit supaya dapat belajar. Saya tidak pernah segan macam kebanyakan graduan yang menganggur sekarang. Saya fikir sikap inilah yang harus ada pada setiap orang muda yang mahu berjaya.

Sikap terhadap pelajaran?

UNGKU AZIZ: Ya, sudah semestinya. Sebelum Perang Dunia Kedua saya sudah masuk ke Raffles College tetapi kemudian terganggu apabila Jepun datang. Tetapi semasa itu pun saya terus belajar juga. Saya ke Universiti Waseda di Jepun, sempat belajar dua tahun. Orang perang atau tidak perang, saya belajar juga.

Apabila semua universiti di Jepun ditutup saya balik semula ke Johor dan berkhidmat sekejap dengan kerajaan negeri. Apabila Raffles College buka semula saya sambung belajar sampai lulus.

Kepada saya jentera dalam mindalah yang menggerakkan saya untuk berjaya. Kemahuan untuk berjaya itu harus ada dalam minda terlebih dulu. Soal hendak jadi kaya tidak pernah terlintas dalam fikiran saya.

Apakah antara perkara penting yang Pak Ungku belajar yang membentuk diri Pak Ungku sampai ke tahap ini?

UNGKU AZIZ: Satu perkara yang saya belajar semasa di Jepun ialah sifat samurai: Kalau dicabar, tarik pedang dan lawan. Kalau menang, menanglah; kalau kalah, mati. Habis cerita.

Saya fikir orang yang hendak jadi unggul ini perlu ada semangat seperti itu - pantang dicabar. Tidak tahu takut, tidak kenal undur.

Semangat samurai ini kepada saya ialah sifat perkasa. Dalam falsafah al-Ghazali pun ada disebut bahawa sifat orang yang berjaya ialah mereka yang berani.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Post time 12-5-2006 02:48 PM | Show all posts
Boleh Pak Ungku namakan Melayu unggul yang boleh dicontohi?

UNGKU AZIZ: Susah bagi saya hendak menamakannya tetapi orang itu harus ada ciri-ciri yang kita bincangkan tadi. Dia harus berani, jujur, amanah, berkata benar, berhemah, bekerja keras dan semangat tinggi.

Dia mesti bersungguh-sungguh bak kata pepatah genggam bara api biar jadi abu. Kita jangan jadi bangsa hangat-hangat tahi ayam. Dan keunggulan mereka itu tentunya akan diukur dari segi kejayaan, baik dalam bidang apa sekalipun.

Sekarang ini orang melihat kepada Pak Ungku?

UNGKU AZIZ: (Ketawa) Saya tidak berani. Lihatlah diri saya ini. Saya begini saja. Saya tidak suka pakai tali leher dan saya makan simple saja. Ini bukan saya buat-buat; saya memang begini. Ini memang saya. Susah untuk orang jadi macam saya. Saya tidak fikir orang boleh meniru cara saya.

Tetapi kalau dedikasi saya - dedikasi ini perkataan yang besar - terhadap pendidikan, barangkali, ya. Saya fikir orang boleh tiru sifat-sifat baik yang mereka fikir ada pada saya.
Reply

Use magic Report

Post time 12-5-2006 02:51 PM | Show all posts
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 12-5-2006 02:54 PM | Show all posts
dpt dari http://www.geocities.com/iatssmy/year02.htm





YM. Royal Professor Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid is also a well known and respected public figure in the country. He is a leading academician and economist who has contributed many ideas to the government.

Royal Professor Ungku Aziz was born in London on January 28, 1922. He completed his secondary education at English College, Johore Bahru and obtained a diploma from Raffles College, Singapore in 1947. In 1951, he obtained a Bachelor of Arts degree in Economics (graduating with Class I Honours) from the University of Malaya and subsequently in 1964, the Doctor of Economics (Hakase) from Waseda University, Tokyo.

Pak Ungku, as he is fondly know as, has also been bestowed with many international awards and honorary degrees, one of them being the "Grand Cordon of the Order of the Sacred Treasure First Class" by the Emperor of Japan.

Together with Tun Ismail Ali, Raja Tun Mohar, Tan Sri Jamil Rais,  and, Dato
Reply

Use magic Report

Post time 12-5-2006 02:56 PM | Show all posts
Looking back as Ungku Aziz turns 80 - utusan express 30/01/2002

KUALA LUMPUR - Royal Professor Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid turned 80 Monday.

In his 60-year career, he has touched thousands of lives as a mediator, unionist, economist, educator and patron of the arts.

On March 28, his former students, friends and colleagues will gather at the Mandarin Oriental Hotel in Kuala Lumpur to honour his contributions to the country.

As the Malaysian Economic Association prepares for the gala event, many of its members recall what Ungku Aziz means to them.

During the 1963 strike by the Railwaymen's Union of Malaya, Ungku Aziz was chosen as a mediator.

His technique was to listen to both sides, define the issues, bargain and find a solution.

"Rising out of his intervention, the state of industrial relations in Malaysia now is so much better because we now understand better ... how to resolve differences between unions and their employers," said Datuk Dr Fong Chan Onn, Human Resources Minister and a former student, professor and dean of Universiti of Malaya's economics faculty.

"We also now understand better how to avoid such a situation," he said.

As dean of the faculty of economics at Universiti Malaya and later as vice-chancellor, Ungku Aziz spearheaded the change in the medium of instruction from English to Malay.

Datuk Dr Mokhzani Abdul Rahim, president emeritus of the Malaysian Employers' Federation and deputy vice-chancellor during Ungku Aziz's tenure, said the switch was achieved in the Royal Professors' typical open-minded, consultative manner, through persuasion and commitment.

The royal professor's lifelong, sometimes controversial, interest has been poverty eradication. He claimed that the solution is income-generation via education.

Tan Sri Mohamed Sheriff Mohamed Kassim, a former student of Ungku Aziz and managing director of Khazanah Nasional Berhad, said the Royal Professor was "instrumental in highlighting many of the institutional failures in the rural sector, which form the basis of government policies to eradicate poverty."

And in March, many of these former colleagues and students will pay tribute to the octogenarian at the dinner. - Bernama
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 12-5-2006 02:59 PM | Show all posts
Melayu dan pemikiran Ungku Aziz - utusan 9/3/2003

Mukadimah
JASA Profesor Diraja Ungku Aziz kepada negara cukup besar. Sumbangannya bukan sekadar cetusan idea untuk pemantapan sistem pendidikan, kritikan terhadap pentadbiran kerajaan dan suara pembaharuan dalam segenap bidang sejak tiga dekad lalu.

Malah pemikir terulung ini juga merupakan pejuang yang tidak mengenal jemu mengetengahkan pandangannya berkaitan nasib, kemelut dan masa depan orang Melayu walaupun kadang-kadang ia mencetuskan kontroversi. Sudah begitu banyak suaranya 'dirakamkan semula' dan 'diterjemahkan' dalam bentuk penerimaan dan pelaksanaan.

Paling sinonim dengan Pak Ungku ialah penubuhan Lembaga Tabung Haji, organisasi pengurusan bakal jemaah haji paling efisien dan Pusat Asasi Sains di Universiti Malaya (UM) yang telah melahirkan ribuan jurutera dan pakar perubatan tempatan.

Kenapa Pak Ungku tidak boleh dilupakan, bagaimana beliau berfikir dan apa lagi cita-cita serta idea yang difikirkannya? Semuanya terjawab dalam pertemuan wartawan RAMLI ABDUL KARIM dengannya, baru-baru ini.

PAK UNGKU baru saja meraikan ulang tahun kelahiran ke-81. Dalam usia selanjut ini, Pak Ungku masih aktif dalam pelbagai bidang. Apa lagi yang Pak Ungku masih cari sekarang ini?

UNGKU AZIZ: Kebanyakan perkara yang saya hendak buat, saya sudah buat. Buku yang hendak dibaca, saya sudah baca. Muzik yang hendak didengar, saya sudah dengar. Tempat yang saya hendak pergi, sudah dilawati. Dan, saya sudah pun berjumpa dengan bermacam-macam orang yang saya ingin jumpa.

Jadi dalam usia begini, saya akan buat perkara yang menarik bagi saya. Baca buku yang menarik, tempat menarik ke dan pemikiran menarik. Itulah fokus saya.

Apa lagi cita-cita atau impian Pak Ungku yang hendak dicapai pada masa ini?

UNGKU AZIZ: Mungkin tidak ada lagi. Saya sudah mulakan banyak perkara di Universiti Malaya (UM). Begitu juga dengan penubuhan Tabung Haji. Semuanya sudah dilaksanakan dengan baik malah mungkin lebih baik daripada jangkaan saya.

Ada juga yang tidak mencapai kesempurnaan dan tidak memuaskan hati saya tetapi sekurang-kurangnya sudah ada inisiatif melaksanakan cadangan saya itu.

Apa perhatian Pak Ungku sekarang?

UNGKU AZIZ: Sekarang ini, saya beri tumpuan kepada Angkasa. Daripada badan yang kecil, sekarang ia sudah boleh menyediakan kursus pendidikan kepada lebih 100,000 pelajar. Saya suka bekerjasama dengan pegawai dan kakitangan Angkasa dalam usaha mewujudkan gerakan koperasi di Malaysia.

Yang lain, saya masih lagi ada pejabat di UM. Di situ saya buat kerja akademik dan yang berkaitan dengan akademik Jepun.

Selain itu, melalui syarikat Azair, saya terlibat menyediakan bekalan air di sekolah di Sabah dan Sarawak. Di beberapa tempat di sana tidak ada penyediaan bekalan air untuk pelajar atau penduduk. Mereka takung air hujan atau air parit untuk minum atau mandi. Kami menggunakan teknologi menggali lubang dan mencari air dalam tanah, lengkap dengan sistem penapisan.

Pak Ungku dikatakan seorang yang tidak berhenti-henti belajar. Apakah yang Pak Ungku sedang belajar sekarang?

UNGKU AZIZ: Saya berminat membaca tulisan Parsi dan Jepun. Saya belajar dan sekarang saya sudah boleh membaca tulisan dan buku-buku bahasa Parsi, Inggeris, Jepun dan bahasa Melayu sendiri. Penguasaan terhadap tulisan dan bahasa-bahasa ini menjadi cabaran kepada minda saya. Ia juga memberi peluang berfikir dalam budaya yang lain.

Saya membeli buku-buku dalam semua bahasa ini. Saya tidak boleh berhenti berfikir kerana bagi saya kalau tidak berfikir, itu maknanya kita sudah `tidur'. Tidak perlulah kita goyang kaki dan termenung saja untuk berehat pada usia begini.

Semua orang tahu Pak Ungku banyak sumbangan kepada bangsa dan negara. Apa lagi yang ingin Pak Ungku perjuangkan selepas ini?

UNGKU AZIZ: Sejak saya muda iaitu selepas Perang Dunia Kedua, saya mula memikirkan apakah masalah terbesar orang Melayu. Dari dulu sampai sekarang, saya akan terus memperjuang dan memperkatakan tentang masalah orang Melayu.

Ramai yang tidak bersetuju dengan pendapat saya bahawa masalah terbesar dan mustahak untuk diatasi dalam masyarakat Melayu ialah kemiskinan. Ini mempengaruhi hala tuju politik Melayu dari zaman merdeka, selepas 13 Mei 1969 dan sekarang.

Masalah politik dalam UMNO dan Pas dan masalah di Kelantan dan Terengganu berakar umbi daripada soal kemiskinan. Selagi masalah kemiskinan tidak diatasi, selama itulah orang Melayu mengalami masalah memajukan bangsa sendiri. Cabaran besar ialah kemiskinan, kita kena cari cara terbaik untuk mengatasinya. Kita tidak boleh beri orang duit saja, RM100 seorang atau apa saja tindakan seumpamanya, itu tidak mengatasi masalah kemiskinan. Kita kena cari punca-punca kemiskinan ini.

Saya menulis banyak kertas kerja termasuk untuk Majlis Perundingan Ekonomi Negara I (Mapen I) dan Mapen II. Tetapi sehingga kini orang ramai belum membacanya sungguhpun ada kesediaan pihak atasan menerbitkan laporan Mapen II itu.

Nampaknya, ia masih dirahsiakan. Saya hairan kenapa ia dirahsiakan dan kenapa orang Melayu sendiri tidak boleh membaca satu laporan begitu tebal yang memikirkan dan memberi banyak maklumat tentang punca-punca kemiskinan orang Melayu.

Dari dulu Pak Ungku asyik membincangkan tentang perkara yang sama ini. Ada yang berkata kenapalah Pak Ungku sibuk sangat dengan masalah orang Melayu ini?

UNGKU AZIZ: Sebab saya orang Melayu. Saya tinggal di negeri Melayu. Saya tidak boleh jaga tepi kain orang Indonesia, saya tidak boleh jaga hal orang di negara China atau India.

Selagi saya ada umur, saya kena hadapi semua ini. Kalau saudara tanya tentang masalah pokok orang Melayu... saya tiada jawapan lain. Itulah dia iaitu masalah kemiskinan.

Kerajaan berpendapat kemiskinan ini boleh diatasi menerusi bidang pendidikan. Bagaimana Pak Ungku melihat perkara ini?

UNGKU AZIZ: Memang benar. Pendidikan memang alat terbesar untuk mengatasi kemiskinan. Tetapi di Malaysia, dasar, teknik dan rancangan memajukan pendidikan orang Melayu berubah-ubah dari semasa ke semasa. Baiki sana dan baiki sini.

Apabila saya kata ini seperti tikus membaiki labu, orang marahkan saya. Dari titik permulaan negara kita iaitu sejak merdeka, cuba tanya apakah yang orang Melayu telah buat untuk menyusun program pembangunan ekonomi dan pendidikan bangsanya.

Kita tidak mempunyai definisi masalah. Kalau ditukar fokus daripada pembangunan ekonomi kepada pendidikan, kita mesti tanya bagaimana pembangunan minda orang Melayu? Dan, apakah sikap orang Melayu terhadap pendidikan?

Dan, satu lagi yang orang Melayu tidak suka saya tanya perkara ini. ``Apakah ideologi orang Melayu ketika ini?'' Adakah ia lahir daripada bidang agama atau ekonomi dan nasionalis? Apakah yang perlu dilakukan untuk mengubah minda, pemikiran dan sikap orang Melayu terhadap pembangunan ekonomi dan pendidikan.

Di bidang pendidikan, orang Melayu kena susun program menyeluruh supaya mereka boleh berdiri sendiri. Didorong program itu, barulah orang Melayu menjadi maju. Lihat Jepun, China, Jerman atau Amerika Syarikat (AS), semuanya ada ideologi yang mempengaruhi manusia tentang bagaimana hendak maju dalam bidang pendidikan. Saya rasa kepimpinan Melayu sendiri masa kini, tidak jelas tentang ideologi mereka dalam bidang pendidikan.
Reply

Use magic Report

Post time 12-5-2006 03:00 PM | Show all posts
Adakah orang Melayu belum mencapai tahap seperti yang Pak Ungku harapkan?

UNGKU AZIZ: Ya. Sebabnya orang Melayu sendiri selepas Perang Dunia Kedua tidak jelas apa yang mereka mahu. Pada satu masa mereka mahukan pembangunan, pada masa lain mereka mahu yang lain pula.

Pada tahun 1980-an misalnya, orang Melayu dilanda budaya mengejar wang, gila wang dan mahu cepat kaya. Kalau tidak kaya pun, mereka mahu mendapat duit dengan mudah. Ini merosakkan ekonomi dan masyarakat orang Melayu. Apabila pengaruh budaya wang ini sudah reda, datang pula tumpuan hebat mengikut aliran dunia iaitu dalam bidang agama.

Sejak 20 tahun lalu, bertambah hebat orang Melayu memikirkan tentang agama. Bagi mereka yang paling penting ialah kedudukan di akhirat. Ini menjadi masalah sebahagian besar orang Melayu. Ada yang menghantar anak-anak belajar ke Pakistan dan Afghanistan. Apabila mereka balik, mahu kerja apa? Bagaimana bangsa Melayu hendak maju melalui apa yang mereka dapat di sana?

Mereka ini percaya kalau hantar anak atau belajar di negara-negara berkenaan akan dapat banyak pahala. Sedangkan kalau di akhirat pun, bukan ada jaminan mereka akan masuk syurga.

Orang yang terbenam dalam masalah kemiskinan pula terpengaruh dengan golongan ini lalu mengabaikan nasib sendiri. Mereka kata ``kerana kemiskinan tidak dapat diatasi, lebih baik tumpukan kepada akhirat, dunia kita tinggalkan begitu saja.''

Tetapi ketika gelombang mengejar agama dan terlalu mementingkan akhirat ini semakin besar, orang Melayu masih lagi percaya kepada bomoh dan sebagainya. Hari ini boleh dibaca dalam akhbar bagaimana orang yang terpelajar, berpangkat tinggi atau berketurunan raja masih dipengaruhi oleh bomoh. Saya pandang... macam mana orang semacam ini, mereka tahu ini perkara syirik tetapi mereka buat juga.

Orang Melayu juga masih dibelenggu budaya rasuah. Ini ada kena-mengena dengan budaya mengejar dan mementingkan wang tadi. Kadang-kadang, orang Melayu mencampurkan budaya mementingkan wang, agama dan gejala rasuah. Selagi dipengaruhi titian sebegini, orang Melayu tidak boleh maju.

Orang Melayu bagaimana Pak Ungku mahu tinggalkan?

UNGKU AZIZ: Saya hanya boleh beri mereka peluang untuk berfikir. Dalam Islam pun, Rasulullah s.a.w. pun meminta umatnya berfikir. Nabi kata orang yang berfikir untuk kebaikan dalam jangka pendek pun, jauh lebih baik daripada orang yang buat ibadat. Dan kalau kita mahu mengubah keadaan, kita mesti perbetulkan diri dan minda sendiri.

Di sebalik kegagalan mengubah pemikiran dan minda orang Melayu, apakah idea lain Pak Ungku yang berjaya memberi kesan kepada orang Melayu?

UNGKU AZIZ: Contoh yang masih topikal ialah Dasar Pandang ke Timur. Ini sudah diterima oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan kerajaan. Dalam bidang pendidikan, menerusi ideologi dasar ini, kita wujudkan program penghantaran pelajar Melayu dari sekolah menengah ke Jepun selepas dua tahun belajar di UM. Setiap tahun kira-kira 150 pelajar pergi ke sana dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Jepun dan Malaysia.

Kedua, Pusat Asasi Sains di UM. Pada mulanya, orang tidak percaya pada masa itu iaitu dalam tahun 1970-an selepas peristiwa 13 Mei 1969, bahawa anak Melayu dari sekolah rendah Melayu boleh belajar ilmu sains dalam bahasa Melayu apabila memasuki sekolah menengah Melayu.

Saya sediakan cara mengajar orang Melayu dalam bahasa Melayu supaya boleh lulus sekolah menengah dan masuk universiti. Ini berbeza dengan langkah kerajaan sekarang iaitu mengajar semula Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Di universiti, kita juga boleh mengajar sains dalam bahasa Melayu selepas itu. Saya buat sistem supaya orang boleh belajar kejuruteraan dan perubatan dalam bahasa Melayu. Sebabnya orang Melayu berfikir dalam bahasa Melayu.

Dan hari ini, menerusi penggunaan bahasa Melayu sebagai pengantar pengajaran Sains di sekolah menengah dan juga Kejuruteraan dan Perubatan di universiti, ribuan anak Melayu sudah jadi profesor dalam bidang perubatan atau bekerja profesional dalam bidang kejuruteraan.

Apa perasaan Pak Ungku apabila dikatakan pelajar-pelajar Melayu lepasan universiti sekarang semakin menurun kualitinya?

UNGKU AZIZ: Memang saya sedih. Kualiti mereka menjadi lebih rendah sebab azam hendak belajar semakin kurang. Ibu bapa tidak berminat ambil tahu pelajaran anak-anak. Mereka ingat sebab ada banyak duit cukup dengan memanggil tutor ajarkan anak dan bagi duit begitu saja. Ibu bapa tidak ambil berat membantu anak-anak.

Selain azam, pelajar pula sebenarnya ramai yang tidak berminat betul-betul mahu belajar. Orang Melayu sudah hilang perhatian ini. Semuanya nak cepat, zaman kehidupan segera, mi segera, bercinta segera dan belajar pun mahu segera juga.

Pemimpin Melayu perlu mengawal pengaruh segera dan ingin cepat ini terutama di kalangan pelajar Melayu. Tidak ada penyelesaian segera dalam apa juga bidang.

Kelemahan lain, tenaga pengajar, profesor...

UNGKU AZIZ: Masalahnya ialah nisbah guru dengan pelajar. Seorang pensyarah bercakap di hadapan lebih 50 orang. Lebih malang kalau mengajar 200 pelajar. Kalau 200 orang mendengar, mustahil boleh belajar. Nisbah di universiti yang baik sejak dulu ialah antara 30 dan 40 pelajar.

Universiti terunggul pula meletakkan nisbah seorang pensyarah dengan 15 pelajar. Ini memberi ruang berfikir dan bersoal balas dengan pensyarah, bukan yang pandai menghafal tetapi tidak berfikir.

Difahamkan Pak Ungku minat mengkaji pantun. Bila buku koleksi pantun Pak Ungku akan siap?

UNGKU AZIZ: Belum siap lagi. Saya sudah baca lebih 3,000 pantun. Hari-hari saya cari pantun Melayu sampai bertimbun-timbun di rumah saya. Kalau dikaji betul-betul, pantun dan teka-teki menggambarkan minda Melayu tulen dan asal-usul pemikiran Melayu. Ia unik dan identiti serta kelebihan orang Melayu. Intisari pemikiran dan minda Melayu terdapat dalam pantun.

Malah kalau orang Melayu mempelajari pantun-pantun bangsa sendiri, orang Melayu boleh maju jaya.

Saya juga ingin mencadangkan bagaimana menganalisis pantun dengan cara dan dimensi yang baru. Analisis lama mengenai pantun Melayu dipengaruhi pemikiran Barat iaitu Inggeris dan Belanda yang memang hendak merosakkan minda Melayu.

Berapa banyak buku yang Pak Ungku sudah baca?

UNGKU AZIZ: Lebih 70,000 buku iaitu sejak 70 tahun lalu. Saya sendiri memiliki lebih 7,000 buku di beberapa tempat iaitu di rumah dan pejabat-pejabat saya. Kamus saja saya ada 20 kamus yang masih dipakai di bilik saya di rumah. Saya juga menulis lebih 1,000 kertas kerja mengenai pelbagai bidang yang telah diterbitkan.

Berapakah jumlah buku yang Pak Ungku cadangkan untuk pelajar baca dalam sehari?

UNGKU AZIZ: Kalau boleh mereka mesti baca sekurang-kurangnya satu buku dalam sebulan. Itu jumlah paling sikit.
Reply

Use magic Report

Post time 12-5-2006 03:01 PM | Show all posts
selayaknye pak ungku digelar melayu terbilang...dlm usia 84 tahun, beliau masih aktif bekerja & menyumbang idea2nye dlm memajukan org melayu...
Reply

Use magic Report

Post time 12-5-2006 03:52 PM | Show all posts
tak silap aku arwah abg ungku aziz yang terkorban di hiroshima masa perang dunia kedua
Reply

Use magic Report

Post time 16-5-2006 12:32 AM | Show all posts
acctually aku bukan tak suka kat prof nih...tapi dia ni cakap cam leweh sangat...udah tu suka jogging...ok jogging jaga kesihatan...tapi fuyooo seluarnya pendek sengketot...kan aurat lelaki dari pusat sampai paras lutut....hah kita berbangga bangga juga....tapi tak semuanya boleh diikut...jangan mare...ni pendapat aku aje...
Reply

Use magic Report

Post time 16-5-2006 02:54 AM | Show all posts
Aku memang tak sealiran ngan mamat nie
Reply

Use magic Report

Post time 16-5-2006 02:30 PM | Show all posts
remy,
kenapa? tang mana dia ni yg tak bagus?

sherrina suka baca artikel2 dia. dia slalu menyentuh pasal pentingnya pemakanan yg seimbang dan mendekatkan jurang antara kaya dan miskin, kampung dan bandar.
Reply

Use magic Report

Post time 16-5-2006 04:19 PM | Show all posts
Profesor Diraja Ungku Aziz.
18/11/2005 Bidang Tokoh Ilmuan



Profesor Diraja Ungku Aziz adalah bekas Naib Canselor Universiti Malaya. Beliau yang menyambut hari lahirnya yang ke 83 pada 28 Januari lalu terlibat aktif dalam isu-isu pembangunan masyarakat Melayu sejak zaman sebelum merdeka.

Jasa dan sumbangan Ungku Aziz terhadap bangsa dan negara adalah jelas daripada gagasan, cadangan dan buah fikiran yang membentuk pelbagai institusi negara. Beliau turut banyak memberi pandangan terhadap isu-isu yang melibatkan orang Melayu dalam pelbagai aspek terutamanya dalam soal ekonomi dan pendidikan orang Melayu.

Beliau juga ialah penyandang tunggal Anugerah Profesor Diraja negara ini.

Lima puluh satu tahun yang lepas, Ungku Aziz adalah pelajar tunggal Universiti Malaya yang mendapat Bachelor of Arts, kelas satu dan beliau kini mempunyai berbelas ijazah kedoktoran termasuk daripada universiti Warwick, Buckingham, Bath, Pittsburgh, Chulalongkorn, Philippines, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Utara Malaysia.

Profesor Diraja Ungku Aziz telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi Universiti Malaya pada istiadat konvokesyen ke-100 Universiti Malaya. Beliau menerima anugerah berkenaan daripada Canselor Universiti Malaya, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Azlan Shah.

Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Dato Dr. Hashim Yaacob dalam pidato umum pada majlis penganugerahan itu berkata Ungku Aziz sebenarnya manusia renaisans iaitu insan yang sentiasa memahir dan memperkukuhkan diri sehingga menjadi bijaksana dalam apa jua bidang yang dituntut. Pak Ungku adalah pencari kebenaran, ilmu ekonomi desa, pengembang minda dan menuntut ilmu sepanjang hayat, juga pemikir tentang pemikiran dan tabiat Melayu.

Prof. Diraja Ungku Aziz juga telah dianugerahkan Pingat Emas Melayu Terbilang bersempena hari ulang tahun penubuhan UMNO ke-59. Pingat Emas Anugerah Melayu Terbilang itu disampaikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam majlis sambutan ulang tahun parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Pemilihan Ungku Aziz yang juga anak saudara kepada pengasas UMNO, Allahyarham Datuk Onn Jaafar, adalah berdasarkan sumbangan berharga beliau terutamanya dalam bidang ekonomi dan perkembangan intelektual Melayu dan negara.

Dengan penganugerahan itu, Ungku Aziz menerima hadiah wang tunai RM100,000, pingat emas, plak serta sijil penghargaan.

Antara sumbangan utama Ungku Aziz kepada negara ialah pelaksanaan Dasar Ekonomi Negara (DEB) bagi membantu Bumiputera menikmati agihan kekayaan negara serta Majlis Perundingan Ekonomi Negara (Mapen) II.

Selain itu beliau juga adalah pencetus idea penubuhan Lembaga Urusan dan Tabung Haji, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Angkatan Koperasi Kebangsaan Berhad (Angkasa), Akademi Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Asasi Sains dan Kedai Buku Koperatif UM.

Ungku Aziz turut menulis banyak kertas kerja termasuk untuk Majlis Perundingan Ekonomi Negara I (Mapen I) dan Mapen II yang mempunyai banyak maklumat mengenai punca kemiskinan orang Melayu.

Ungku Aziz mengingatkan bahawa kejayaan UMNO dan orang Melayu terletak di bahu generasi Melayu kini dan masa depan. Beliau turut mengajak orang melayu untuk terus menjadikan pegangan ilmu sebagai gagasan paling penting dalam menjana kehidupan mereka.

Ungku Aziz sememangnya seorang yang intelektual yang banyak mencurahkan bakti kepada rakyat, bangsa dan negara. Banyak contoh yang boleh ditiru oleh orang Melayu daripada Ungku Aziz baik dari segi pemikirannya hingga kepada kehidupan peribadinya.

Ketika menjadi Naib Canselor Universiti Malaya beliau dikenali sebagai seorang tokoh yang teliti dalam menjaga kesihatan melalui kesedaran dan pemahaman saintifik. Sejak dari muda lagi, beliau telah melakukan senaman jogging setiap hari. Satu kaedah yang telah dianjurkan oleh sains perubatan moden. Beliau melakukannya pada tahun-tahun 1960-an dan 1970-an ketika mana jogging belum lagi begitu popular bukan saja di Malaysia tetapi di dunia.

Dari segi pemakanan juga, Ungku Aziz telah menerima pakai saranan daripada pemahaman sains dan beliau mengamalkannya pada zaman yang masyarakat belum begitu sedar tentang kepentingannya.

Lagi satu sikap peribadinya yang boleh dijadikan contoh oleh orang Melayu ialah kesederhanaan, disiplin dan tidak terheret kepada urusan atau ehwal remeh-temeh.

Selain daripada keperibadian beliau yang mempunyai nilai-nilai murni, pendidikan Jepun yang beliau alami dipercayai turut mewarnai cara kehidupan yang terpuji itu. Ungku Aziz telah menampilkan nilai-nilai baik yang belum menjadi penghayatan umum masyarakat Melayu.

Profesor Diraja Ungku Aziz sangat menekankan terhadap kepentingan minda, pemikiran dan cara berfikir rasional. Ungku Aziz berpendapat orang Melayu tidak sanggup berubah dari segi minda mereka. Perspektif orang Melayu terhad, tidak suka menyiasat dan tidak suka berfikir dengan mendalam.

Keadaan ini penting diberi perhatian oleh orang Melayu kerana orang Melayu umumnya tidak begitu tekun untuk menyiasat dan mencari penjelasan saintifik berkaitan sesuatu kejadian.

Prof Diraja Ungku Aziz cukup dikenali sebagai pakar ekonomi yang dihormati. Masalah ekonomi orang Melayu yang paling utama hari ini adalah masalah kemiskinan. Pada pendapatnya, selagi masalah kemiskinan tidak diatasi, selama itulah orang Melayu mengalami masalah memajukan bangsa sendiri. Untuk menyelesaikan masalah kemiskinan, kita perlu mencari sebabnya sehingga ke akar umbi.

Penglibatan Pak Ungku boleh dilihat apabila beliau menyuarakan pandangannya mengenai kepentingan sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti melalui Agenda Nasional Baru menjelang tahun 2020.

Kepada Pak Ungku, peratusan pegangan ekuiti itu bukanlah ukuran keadaan ekonomi orang Melayu yang sebenar. Apa yang lebih penting kepada beliau ialah pembasmian kemiskinan masyarakat desa yang rata-ratanya masih jauh ketinggalan.
Pak Ungku mengupas tentang betapa pentingnya usaha meningkatkan ekonomi Orang Melayu dalam mengejar wawasan 2020 adalah dengan pendekatan mengubah persepsi dan pandangan dunia mereka.

Beliau turut menyatakan tentang pentingnya menanam semangat berusaha serta mengubah sikap orang Melayu kepada pendidikan, kesihatan, pemakanan dan amalan

rasuah. Jika orang Melayu dapat menyelesaikan masalah-masalah ini insya-Allah masalah utama orang Melayu dapat diselesaikan.
Pak Ungku tidak menyembunyikan kekagumannya kepada Pendeta Za'ba yang kepadanya banyak meninggalkan buah pemikiran yang cukup bermakna, yang boleh menjadi kompas dan peta kepada orang Melayu untuk menjayakan agenda penting itu.
Pak Ungku turut menyebut tentang sikap terhadap pendidikan yang harus diubah oleh orang Melayu. Anak muda Melayu harus ada dalam diri mereka rasa cinta kepada

ilmu pengetahuan. Beliau turut menekankan pembelajaran sepanjang hayat. Perasaan cinta kepada ilmu hendaklah dipupuk sepanjang hayat, sejak dari muda hinggalah ke tua. Orang Melayu harus ada sikap cintakan ilmu sama seperti orang Cina dan Jepun.

Prof Diraja Ungku Aziz sememangnya contoh Melayu yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Kejayaan Ungku Aziz membuktikan orang Melayu boleh berjaya jika sanggup mengubah minda dan persepsi hidup ke arah yang lebih positif. Melayu juga sebenarnya boleh berjaya setanding dengan bangsa lain.

[ Last edited by  Syd at 16-5-2006 04:24 PM ]
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 16-5-2006 04:28 PM | Show all posts
mcm yg disebut dlm interview kat atas, prof. ungku aziz takleh dedahkan laporan rancangan2 malaysia seblom ni (eg. rmk7,rmk8) sbb laporan2 post mortem rmk tu dikategorikan sbg rahsia rasmi...jadi kita tak tau ape kelemahan yg perlu diperbaiki bile berakhirnye setiap satu2 rancangan malaysia...ape yg ada, projek2 yg dirancang utk rancangan malaysia yg seblom tu 'dikitarsemula' utk rancangan malaysia yg seterusnya...sepatutnya tak bole begitu...takkan kita nak mengulang kesilapan & kelemahan yg sama tiap2 kali dtg rancangan malaysia yg baru...
Reply

Use magic Report

Post time 17-5-2006 02:17 PM | Show all posts
L & G,

I was lectured by him after he stepped down as UM's VC in the late 80's to early 90's. The subject was on lateral thinking in the philosophy of science module, his favourite subject as Edward de Bono can be counted as one of his friends. It was more like part-lecture, part-experience sharing and we did get the details of the KTM strike negotiations of which we learnt a bit about the art of negotiation. Then the stories behind Tabung Haji, Koperasi etc. At the end of his last lecture on the course, everybody stood up and clapped, everybody meaning malay, chinese & indians. He was that good.

Of course he's also a bit liberal in his approach being of mix blood (his mother's turkish) but was never against any muslimah wearing the purdah as long as you do well in your studies. For now, he's the only Royal Prof and I can't think of anybody as an equal replacement. So for his fans and foes alike, try finding those old issues of Dewan Masyarakat (what else?) and a biography titled 'Sebutir Permata di Menara' by Abdul Aziz Zariza Ahmad published in 1982. I guess this copy is in a library somewhere.

Last I heard, his favourite place is still Morib, he eats with his hands and during Zainal Din Zainal's top morning talk radioshow every Wednesday (early 90's), his voice and views were always a delight to listen to while stuck in the early morning rush. He's residing in one of the many apartment blocks in PJ and one fully air-conditioned unit is just for his books alone.
Reply

Use magic Report

Post time 17-5-2006 03:05 PM | Show all posts
kan dlm berita harian penah kuar rencana & interview psl dia, dlm tahun lepas gak....
pak ungku ajak reporter interview dia kat luar apartment dia,dekat swimming pool...
bile dah abis interview wartawan tu ikutla dia sampai pintu rumah dia...
sampai kat situ pak ungku kata mintak maaflah, kite berenti kat sini saja, saya mmg tak penah benarkan sape2 selain ahli keluarga masuk rumah saya, tetamu2 luar pun tak penah masuk rumah saya...
wartawan tu tanye sbb ape?
dia jawab, kalau awak masuk, awak tanak keluar dah pastu...
huhu, misteri tul..

dr segi pemakanan dia jarang makan nasik (which he claims antara sbb umur dia panjang & sihat), tiap2 hari bini dia (azah aziz) masak mcm2 makanan antarabangsa...

[ Last edited by  iscol_klang at 17-5-2006 03:06 PM ]
Reply

Use magic Report

Post time 18-5-2006 08:18 AM | Show all posts
asal dia mmg melayu jati ke? tengok macam ada campuran matsaleh skit, termasuklah isteri dan anak2 dia
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

4-3-2025 12:09 PM GMT+8 , Processed in 2.743534 second(s), 34 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list