CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3133|Reply: 0

Rusa

[Copy link]
Post time 13-7-2009 10:16 AM | Show all posts |Read mode
Post Last Edit by Syd at 13-7-2009 10:20

Rusa jinak
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
[email protected]





BERMULA dengan angan-angan ingin membuka taman haiwan peliharaan, Abdullah Ahmad Mahmud kini boleh berbangga apabila ladang Deerland miliknya disenarai sebagai antara destinasi pelancongan utama di Lanchang, Pahang.

Taman milik persendirian yang pernah menjadi lokasi rakaman program cabaran realiti terbitan TV3, Explorerace itu kini semakin mendapat tempat di kalangan pelancong asing, yang lazimnya singgah selepas membuat kunjungan ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan.

Seperti pengunjung lain, peserta Kembara Zoom Malaysia (KZM) anjuran majalah pelancongan Gaya Travel Nusantara dan Tourism Malaysia, baru-baru ini, turut diberi kesempatan bermesra dengan haiwan peliharaan taman yang diusahakan sejak 1996 itu.

Tidak perlu menunggu lama, hampir 20 rusa keluar dari hutan sebaik dipanggil pemiliknya.

Semuanya meluru terus untuk menikmati potongan lobak yang menjadi makanan kegemaran dalam bekas plastik dipegang pengunjung.  

Malah,haiwan jinak ini sudah tidak terancam dengan kehadiran manusia apabila ada yang berdiri atas dua kaki apabila diacah pengunjung.

Rusa daripada jenis Timor dan Sambar ini hanya akan beredar apabila menyedari makanan sudah habis dihulurkan.

Abdullahberkata, sejak mengusahakan taman itu, rusa peliharaannya sudah beberapa kali meloloskan diri ke hutan berhampiran apabila ada sebahagian daripada pagar taman roboh akibat pokok tumbang.

"Namun,oleh kerana sudah terbiasa, saya hanya perlu memanggil rusa pulang. Adakalanya tidak perlu dipanggil pun, haiwan ini akan kembali apabila tiba waktu makan," katanya yang mengendalikan taman itu dengan bantuan ahli keluarga.

Puas memberi rusa makan, peserta diminta beratur dalam satu barisan tanpa berpaling ke belakang.

Rupa-rupanya, pemiliknya ingin memperkenalkan monyet kecil yang akan melompat dari satu kepala ke kepala pengunjung yang lain.

Gamat suasana apabila monyet kecil yang masih menyusu itu adakalanya seperti degil dan tidak mahu berganjak dari bahu sesetengah peserta walaupun cuba dirasuah dengan makanan.

Pantang lensa kamera dihalakan, haiwan ini juga seolah-olah amat gemar beraksi.

Darisini, peserta dibawa melewati zoo mini menempatkan haiwan eksotik seperti burung merak, burung kasawari dan paling istimewa burung pegar yang memiliki balung biru kundang bagi menutup muka.

Jika bernasib baik, pengunjung boleh bermesra dengan kancil dan sugar glider dari Australia mahupun arnab atau landak kecil yang akan keluar dari tempat persembunyian apabila diumpan dengan roti segar oleh pemiliknya.

Mereka yang tidak fobia boleh merakamkan gambar bersama dua ular sawa yang menjadi antara penghuni utama taman itu sejak ia diperluaskan.

Namun, pengalaman paling unik menanti peserta apabila diajak membelai beruang madu - haiwan yang digeruni di Barat.

Terlebih dulu, Abdullah membawa keluar anak beruang yang dinamakan Muda untuk tontonan pengunjung. Seperti anak kecil, haiwan ini tidak betah duduk diam dan sering kali berdiri dan berguling ke tanah apabila diacah pemiliknya.

Tapak tangan peserta kemudian dilumur dengan campuran madu dan susu pekat untuk sesi memberi Muda makan. Anak beruang kelihatan amat berselera sekali apabila dihulurkan susu yang menjadi makanan kegemarannya sambil dipantau pemiliknya.

Anaks udah didekati, ibu haiwan ini turut dipamerkan di satu lagi ruangan berhampiran pintu keluar taman. Dengan belang putih di dada, beruang dewasa bernama Sun yang lazimnya kelihatan ganas hanya duduk diam tanpa terganggu dengan tumpuan manusia.



TARIKAN LAIN

Pengunjung boleh memilih Herb Trail untuk mempelajari mengenai tongkat Ali, kacip Fatimah dan lebih 40 tumbuhan herba yang sebahagiannya dikomersialkan dalam bidang perubatan.

Mahu lebih dekat dengan alam sekitar?Anda boleh menyertai pakej perkhemahan tepi sungai sambil menikmati kedinginan air yang masih belum dicemari pembangunan manusia.

Selain dapat melihat habitat rusa dari dekat, peserta dapat mempelajari teknik hidup dalam hutan, selain menikmati minuman petang dengan menu seperti ubi kayu atau pisang bakar.

Bagi yang suka memancing, ikan lampam dan baung mungkin menjadi antara hidangan makan malam barbeku anda.

Kurang enam kilometer, anda boleh singgah di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan atau dua kilometer untuk ke Institut Konservasi Biodiversiti Bukit Renggit (09-2762009).

Institut ini memiliki beberapa chalet pada harga serendah RM70 berserta makanan.

Dari institut ini juga, pengunjung boleh merentas denai menuju ke air terjun kecil untuk berkelah di tengah hutan rimba.

Selain itu, anda boleh melawat Kampung Beh, perkampungan Orang Asli suku Batek Che Wong dan Temuan.



RUJUKAN PERCUTIAN

Deerland Park

Tel: 013-9676242 (Abdullah), 09-2797249 (pejabat).

E-mel: [email protected]

Waktu operasi: Setiap hari kecuali Jumaat (10.30 pagi hingga 5.30 petang)

Bayaran masuk: RM5 (dewasa) dan RM3 (kanak-kanak bawah 12 tahun). Bayaran lebih murah untuk tempahan kumpulan serta pakej pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah.



CARA KE SANA

>Deerland terletak di Bukit Rengit, Lanchang, kira-kira 110 kilometer dari KualaLumpur. Dari ibu kota, pandu melalui Lebuhraya Karak menuju ke Kuantan dan ambil susur keluar selepas tol Lanchang. Dari sini, pandu terus menghala ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan dan pandu lapan kilometer sebelum ambil kanan dan ikut papan tanda untuk ke Bukit Renggit dan Deerland.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-12-2024 02:22 AM GMT+8 , Processed in 0.430823 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list