View: 542|Reply: 0
|
[Negeri Sembilan]
Dua rumah, kereta dilelong selepas hidap kanser
[Copy link]
|
|
UMAR dan Rosidah diminta keluar dari rumah kerana tidak berkemampuan membayar sewa rumah. FOTO Ezrul Edham Mohd Aminuddin.
Seremban: Dalam kesibukan orang lain sudah mula membuat persiapan menyambut Aidilfitri, pasangan suami isteri ini pula diarahkan untuk mereka keluar dari rumah sewa.
Umar Alwyn Peter Abdullah, 58, dan isterinya, Rosidah Sentol, 58, yang juga pesakit kanser diberi tempoh sehingga hujung bulan ini untuk keluar dari rumah sewanya di Taman Sri Pinang, di sini, selepas beberapa kali gagal menjelaskan tunggakan sewa.
Menurutnya, kehidupan mereka mula diuji selepas dia disahkan menghidap kanser buah pinggang pada 2012.
"Ketika sihat, saya pernah bekerja sebagai pengurus syarikat dan selepas kontrak kerja tidak lagi disambung, saya dan isteri berniaga makanan untuk mencari rezeki.
"Namun disebabkan kesihatan saya tidak menentu, kami tak mampu lagi meneruskan perniagaan sehinggalah pada 2019 isteri pula disahkan menghidap kanser payudara," katanya ketika ditemui hari ini.
Umar berkata, kini, menjadi rutin dia dan isteri berulang alik ke Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya dan Klinik Kesihatan Seremban 2 untuk mendapatkan rawatan.
Menurutnya, disebabkan itu mereka hilang sumber pendapatan sehingga dua rumah dan dua kereta milik kami terpaksa dilelong bank.
"Sejak itu kami kerap berpindah randah dengan menyewa. Kami mula menyewa di rumah ini (Taman Sri Pinang) sejak Oktober 2020.
"Ketika itu, ada lagi duit simpanan untuk membayar sewa, pada masa sama ada juga adik beradik serta kawan bantu, tapi sampai bila saya nak minta tolong dengan mereka sedangkan mereka juga ada masalah masing-masing," katanya.
Disebabkan keadaan sudah mendesak, Umar yang dalam keadaan tidak sihat, bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat di Kuala Lumpur.
Namun baharu sahaja mahu menarik nafas lega, syarikatnya pula berdepan masalah kewangan dan sudah tiga bulan tidak membayar gaji.
"Walaupun sakit, saya akan kerja. Sekarang ini pun saya tengah cari kerja lain di sebuah kedai serbaneka, tapi tak tahulah dapat ke tidak kerana saya sudah tua.
"Terus terang sebenarnya saya malu juga mahu meminta bantuan tetapi saya sudah tiada pilihan kerana perlu keluar dari rumah sewa secepat mungkin," katanya yang sebelum itu menerima kunjungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) PERKASIH N9.
Katanya, dia kini tiada kenderaan dan ada kalanya terpaksa meminjam kereta rakan jika ada sesuatu yang perlu dilakukan.
"Saya masih ada kereta, tapi terpaksa ditinggalkan di bengkel selepas terbabit kemalangan. Kami tidak mampu nak bayar kos baik pulih kenderaan itu.
"Sekarang ini saya hanya fikir di mana tempat kami nak tinggal selepas ini dan saya harap sesiapa dapat membantu dan berharap dapat kerja juga," katanya.
Sementara itu Penolong Pengarah Unit Kebajikan dan Skuad Gerak Khas Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Noor Fathihah Osman yang melawat pasangan suami isteri itu berkata, MAINS akan membantu menyelesaikan tunggakan sewa enam bulan dan tunggakan bil elektrik dan air lebih RM1,000.
"Baitulmal juga sebelum ini pernah membantu selesaikan tunggakan sewa rumah pasangan ini yang mana pada waktu itu mereka buat permohonan.
"Jadi sekarang selain bantu selesai segala tunggakan kita juga akan bantu cari rumah yang sesuai dengan kerjasama NGO PERKASIH N9 dan Pejabat Tanah dan Daerah Seremban," katanya
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... elepas-hidap-kanser |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|