|
Kota Bharu: Polis Kelantan menahan 11 individu termasuk seorang wanita menerusi Op Tapis Bersepadu di enam daerah selama seminggu sejak 5 hingga 12 Jun lalu.
Menerusi serbuan di Kota Bharu, Pasir Mas, Gua Musang, Pasir Puteh dan Bachok itu, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai lebih RM200,000.
Ketua JSJN Kelantan, Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar berkata, menerusi serbuan berkenaan pihaknya menahan 10 lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 51 tahun.
"Kita berjaya merampas 18,500 biji pil yaba, 211.57 gram heroin heroin, 75.9 gram syabu dan 14.64 gram ganja dengan anggaran nilai lebih RM200,000.
"Jumlah dadah berkenaan boleh digunakan kepada seramai 94,200 sekiranya bekalan itu terlepas ke pasaran.
"Pada masa sama, kita turut menyita sembilan motosikal, dua kereta, wang tunai, dua utas gelang emas dan sebentuk cincin dengan nilai lebih RM123,000," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau berkata, kesemua suspek ditahan reman seminggu dari tarikh ditangkap dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ng-pengedaran-dadah |
|