View: 560|Reply: 0
|
[Kelantan]
Berat lebih 200kg, berguling untuk bergerak
[Copy link]
|
|
Berat lebih 200kg, berguling untuk bergerak
Amiza mengalami obesit imelampau dan masalah oksigen rendah dalam badan bersama ibunya, Zaiton Tekor ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Demit, di sini. - Foto NSTP/Siti Rohanma Idris
KOTA BHARU: Sejak dua bulan lalu, pergerakan Amiza Amdam dari Kampung Padang Demit, di sini terhad dan hanya mampu berguling perlahan-lahan atau mengengsot untuk bergerak.
Dengan berat badan melebihi 200 kilogram (kg), wanita berusia 37 tahun yang mengalami masalah obesiti melampau dan oksigen rendah dalam badan itu bergantung sepenuhnya kepada bekalan oksigen untuk bernafas.
Amiza berkata, sebelum ini dia memang berbadan gempal dengan berat badan sekitar 120kg dan masih mampu berjalan serta bekerja.
Namun, sejak beberapa bulan ini berat badannya naik mendadak sekali gus sudah tidak mampu berjalan.
"Saya tetap cuba menguruskan diri sendiri tanpa membebankan kedua ibu bapa yang sudah tua. Contohnya, saya akan berguling untuk mandi di bilik air namun agak sukar membuang air kerana saiz badan tidak muat untuk masuk ke tandas.
"Saya tidak memakai lampin pakai buang kerana tiada saiz dan terpaksa mengengsot perlahan-lahan ke satu sudut untuk membuang air dengan dialas plastik bagi memudahkan emak membuang najis itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
Amiza berkata, dia cuba untuk bangun namun gagal disebabkan saiz badan terlalu besar, tidak berupaya untuk mengimbangi badan. Malah untuk makan juga adakala terpaksa berbaring dalam keadaan mengiring.
Dia yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu taska dan juga kilang di Pulau Pinang berkata, turut menghidap kencing manis, kolesterol, masalah paru-paru dan alergi kulit menyebabkan perlu banyak berpantang dalam pemakanan.
Katanya, doktor mencadangkan rawatan bariatrik (potong usus) untuknya namun perlu mempertimbangkan dahulu beberapa perkara.
"Sejak beberapa bulan ini saya sudah memulakan janji temu dengan beberapa pakar. Saya sudah beberapa kali dimasukkan ke wad tetapi tidak dikenakan bayaran kerana aktif menderma darah sejak remaja lagi. Aktiviti itu terhenti sejak setahun lalu kerana masalah kesihatan.
"Baru-baru ini, saya dimasukkan ke wad kerana sesak nafas dan pendarahan di kaki secara tiba-tiba. Apa yang menjadi masalah adalah pengangkutan untuk ke hospital kerana tiada pengusung khas untuk kes seperti saya.
"Kami menghubungi ambulans swasta dengan bayaran RM180 untuk dua hala dan saya terpaksa diikat agar tidak terjatuh kerana pengusung biasa hanya untuk berat tidak lebih dari 100kg sahaja," katanya,
Terdahulu mereka dikunjungi dua aktivis masyarakat, Saripah Ismail dan Nozlyhairani Suhana Mohamed yang memberi jaminan akan cuba membantu Amiza dari segi keperluannya termasuk mencari pengangkutan sesuai untuk Amiza berulang-alik ke hospital.
Sumber:https://www.bharian.com.my/berit ... ling-untuk-bergerak
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|