|
SITI Jainah menunjukkan perbualan terakhir melalui Whatsapp ketika ditemui di perkarangan Rumah Mayat HTAA. FOTO Farizul Hafiz Awang
Kuantan: "Arwah adik (Muhammad Rosli Ibrahim) berniat untuk membuat pendawaian elektrik di rumah ibu," kata Siti Jainah Basiron, 45, kakak kepada mangsa kemalangan lima maut di sini, semalam
Siti Jainah ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini hari ini.
Beliau yang menetap di Taman Koguna, Kampung Makam di Kota Tinggi, Johor itu dimaklumkan kemalangan berkenaan, 5 petang, semalam.
"Arwah hendak membuat pendawaian elektrik tetapi niatnya tidak kesampaian selepas maut dalam kemalangan.
"Sebenarnya, arwah adik datang ke Pejabat Tanah Pekan, Pekan untuk urusan tanah dan dikatakan singgah di Chini, Pekan.
"Kali terakhir saya bertemu arwah ialah pada hari raya Aidilfitri lalu dan ketika itu arwah adik ipar dan anak mereka tidak bersama.
"Arwah kelihatan ceria pada hari raya itu kerana kami adik beradik dapat bertemu," katanya.
Siti Jainah berkata, perkara yang membuatkannya terkilan ialah kebiasaannya akan membuat panggilan video bersama adik-beradik lain.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu tidak dilakukan sejak akhir-akhir ini kerana lebih kepada membalas mesej sahaja.
"Kali terakhir saya menerima mesej daripada arwah pada kira-kira 9 pagi semalam yang ketika itu saya sempat bertanyakan keluarganya sihat dan sama ada akan balik pada hari raya Aidiladha nanti.
"Arwah membalasnya sihat dan memaklumkan ke Pejabat Tanah Pekan sebelum ke Chini.
"Itulah kali terakhir perbualan saya dengan arwah melalui mesej," kata Siti Jainah.
Dalam kejadian 3.40 petang semalam, lima sekeluarga maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Kuantan-Segamat, di sini.
Mereka yang maut ialah Muhammad Rosli, Nor Afikah Abdullah Sani, 35, serta tiga anak mereka Nur Safwa Irdina, 7, Nur Sofea Rajda, 6 dan bayi lelaki mereka, Muhammad Rizqi yang berusia setahun enam bulan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... awaian-di-rumah-ibu |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|