|
Keadaan nelayan Vietnam yang berenang ke arah pelantar selepas terjatuh ke dalam laut. FOTO IHSAN APMM
Kuala Terengganu: Seorang nelayan warga Vietnam bertindak nekad terjun dari bot dengan mengikat plastik pada badan sebagai pelampung sebelum berenang ke pelantar yang terletak pada jarak 152.2 batu nautika dari muara Kemaman, kelmarin.
Mangsa berusia 24 tahun berjaya diselamatkan pekerja pelantar Piatu Timur kira-kira 8.45 pagi.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, pihaknya menerima aduan dari pelantar berkenaan mengenai kejadian orang jatuh laut membabitkan lelaki warga Vietnam .
Menurutnya, mangsa menyelamatkan diri dengan berenang ke arah pelantar berkenaan sebelum diselamatkan pekerja di sana.
"Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan negatif Covid-19 berdasarkan ujian yang dijalankan terhadapnya. Bantuan perubatan dan makanan turut diberikan pihak pelantar kepada mangsa," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Muhammad Suffi berkata, pihaknya berjaya membawa mangsa ke Pangkalan Bekalan Kemamam (KSB) di Kemaman kira-kira 8.30 pagi tadi sebelum mangsa diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
"Hasil siasatan awal kita tidak menolak kemungkinan mangsa cuba melarikan diri kerana membawa sekali barangan peribadi seperti telefon bimbit, pengenalan diri, beberapa wang kertas Vietnam dan kad bank.
"Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian sebenar," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... lantar-diselamatkan |
|