|
Penghulu Mukim Lata Rek, Kamarul Zaman Jaafar menunjukkan pagar kebun seorang penduduk dirosakkan gajah di Kampung Tok Uban. - Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
KUALA KRAI: Lebih 1,000 penduduk di sembilan kampung di daerah ini berdepan ancaman gajah yang memusnahkan tanaman sejak lebih dua bulan lalu.
Mereka adalah penduduk Kampung Tok Uban, Lata Rek; Kampung Sungai Rek; Kampung Sam; Kampung Tias; Kampung Slow Mengkuang; Kampung Manek Urai;Kampung Pasir Kelang; Kampung Bekok; dan Kampung Pria Lepan Junuh.
Seorang penduduk Kampung Tok Uban, Mohd Ridzuman Hanapi, 37, berkata kampungnya kerap menjadi tempat gajah berkeliaran untuk mencari makanan sehingga merosakkan tanaman diusahakan penduduk seperti pisang, kelapa dan sawit.
"Kali terakhir kawanan gajah masuk ke kampung dan merosakkan tanaman adalah pada 2020 dan dalam tempoh setahun tidak ada sebarang gangguan sehinggalah awal Januari lalu haiwan liar ini muncul kembali merosakkan tanaman.
"Ancaman ini lebih kerap berlaku sejak lebih sebulan lalu apabila gajah masuk ke kampung pada waktu malam dan merosakkan kelapa, pisang dan sayur-sayuran diusahakan penduduk.
"Walaupun gajah sudah dihalau ke hutan, ia kembali dan merosakkan tanaman dan kejadian berlaku pada waktu malam hingga awal pagi," katanya ketika ditemui di Kampung Tok Uban, di sini, semalam.
Bagi pemilik kebun pisang, Wan Harun Wan Ahmad, 43, ancaman gajah yang memusnahkan tanamannya bermula sejak awal tahun ini dan pada Mei lalu ia semakin menjadi-jadi.
"Saya sudah berbelanja RM3,000 untuk memasang pagar elektrik di sekeliling kebun pisang, namun masalah tidak selesai sebaliknya terpaksa menanggung kerugian sehingga RM20,000 apabila kebun yang berkeluasan lima ekar diceroboh kumpulan gajah.
"Tahun lalu, sebelum serangan gajah, saya boleh mengeluarkan tiga kali hasil, namun tahun ini, pisang yang diusahakan hanya sia-sia," katanya.
Sementara itu, Penghulu Mukim Lata Rek, Kamarul Zaman Jaafar berkata, dia sudah memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan selanjutnya.
"Sejak kawanan gajah liar ini berkeliaran di kawasan kebun, kebanyakan penduduk sudah tidak berani ke kebun kerana bimbang keselamatan mereka terancam serta mengharapkan bantuan pihak PERHILITAN untuk menanganinya.
"Justeru itu, saya amat berharap PERHILITAN lebih kerap membuat rondaan dan mengambil tindakan sewajarnya demi keselamatan selain mengelakkan lebih banyak kerugian terpaksa ditanggung," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... mpung-diancam-gajah |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|