View: 400|Reply: 0
|
[Kelantan]
Memori 'orang-orangan'
[Copy link]
|
|
420 orang-orang cetus kreativiti daripada barang terbuang mengambil tema 'Ikut resmi padi yang dipertandingkan dalam Pameran seni Instalasi Orang-orangan di Padang Kota Seribong. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Kota Bharu: Mengambil tema 'Ikut resmi padi semakin tunduk semakin berisi', peribahasa itu diterjemahkan dalam bentuk orang-orangan yang dihasilkan Nik Abdul Aziz Nik Mohamed, daripada barangan terbuang sempena Pameran seni Instalasi Orang-orangan di Padang Kota Seribong di sini, hari ini.
Dengan menggunakan kepingan zink, jerami padi dan sabut kelapa, figura orang-orangan yang dihasilkan Nik Abdul Aziz, 60, itu mendapat perhatian juri sekali gus dipilih menjadi pemenang dalam kalangan 420 orang-orangan yang dipertandingkan dalam pameran seni itu.
Nik Abdul Aziz berkata, instalasi seni orang-orangannya yang bertemakan rakyat marhain itu adalah dengan mengambil inspirasi daripada kehidupan silamnya yang dikelilingi persekitaran sawah padi dengan kehadiran orang-orangan yang berperanan sebagai penghalau burung.
"Untuk pertandingan ini saya menghasilkan dua karya iaitu bertemakan padi dan satu lagi kepentingan solat yang mana sebuah jam dinding dilekatkan di badan orang-orangan itu dan akan berkumandang azan setiap lima waktu.
"Penghasilan dua karya saya ini adalah daripada pemantauan di kawasan sawah padi dan kebun yang mana suatu masa dahulu orang-orangan banyak digunakan untuk menghalau binatang terutama burung namun pada masa kini ia jarang kelihatan malah kanak-kanak juga sudah tidak mengenali figura itu," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Dianjurkan Persatuan Seniman dan Warisan Kelantan (Pesta) dengan kerjasama pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri Kelantan, pameran itu menampilkan kira-kira 40 peserta malah ada dalam kalangan mereka adalah pelukis terkemuka.
Pengerusi Pesta, Azman Daud berkata, penganjuran pameran selama 15 hari yang bakal berakhir 20 Oktober ini adalah untuk memperkenalkan seni instalasi yang menampilkan orang-orangan sebagai subjek kepada orang ramai khususnya golongan muda.
"Kami ingin hidupkan kembali suasana di sawah padi yang mana pada zaman dahulu, orang-orangan berperanan penting bagi memastikan hasil padi tidak dikacau binatang.
"Penganjuran pameran dan pertandingan ini juga menyerlahkan kreativiti peserta dengan penggunaan pelbagai barangan terbuang selain pakaian dalam menghasilkan orang-orangan yang bertepatan dengan tema," katanya sambil memberitahu dua kategori yang dipertandingkan iaitu individu dan berkumpulan.
Antara tema yang dihasilkan menerusi penghasilan orang-orangan itu adalah keluar sawah, orang kampung, muslimah, musim sejuk, anak petani berjaya, KB cowboy dan pengantin d'sawah.
Bagi pelukis Ngdawiyah Ismail, 47, pula mesej kasih sayang yang diketengahkannya adalah mengambil inspirasi daripada kehidupannya semasa kecil yang dibesarkan ibunya dengan menyara hidup mereka sebagai pesawah.
Ngdawiyah berkata, dia menghasilkan 40 orang-orangan untuk pameran dan pertandingan itu yang sebahagian besarnya adalah meletakkan wanita sebagai subjek utama selain terdapat kanak-kanak di beberapa orang-orang yang dihasilkannya.
"Saya menghasilkan orang-orangan ini bersama ekspresi tubuh sama ada sedang memancing, memimpin tangan anak dan membawa bakul bagi menggambarkan kehidupan pesawah yang sebenar.
"Semua figura ini saya hasilkan daripada barang terbuang seperti kapas, jerami padi, dawai, kain serta pakaian 'bundle' (terpakai) yang dipakai bagi menterjemahkan kasih sayang seorang ibu," katanya yang mendapat tempat kedua dalam kategori individu.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... emori-orang-orangan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|