View: 422|Reply: 0
|
[Terengganu]
Cinta Wan Nordin pada laut
[Copy link]
|
|
Kuala Terengganu: "Cinta saya pada laut amat menebal dan sejak usia 21 tahun saya sudah menjadi seorang pelaut," kata Wan Nordin Wan Abdullah, 66, dari Kampung Pulau Duyung, dekat sini.
Menurutnya, kampungnya iaitu Pulau Duyung, satu ketika dahulu merupakan lokasi tersohor dalam pembuatan kapal layar dan bot tradisional mendorongnya menjadi seorang pengantara antara tukang dan pembeli bot.
Katanya, biasanya yang datang menempah kapal layar di kampung itu adalah orang Inggeris dan bagi memudahkan urusan tempahan dia akan menguruskannya.
"Dari situ bermulanya kisah pelaut kerana kapal layar yang siap dibina akan dipandu uji dan biasanya perjalanan dilakukan hingga ke Thailand, Singapura dan Indonesia.
"Tidak habis di situ, saya kemudiannya melanjutkan pengajian di Akademi Laut Malaysia (Alam) dan turut mengikuti kursus mengendalikan ejen sesebuah kapal," katanya.
Menurutnya, sementara menunggu kapal layar atau bot siap dibina yang mengambil masa lebih dua tahun dia akan melakukan kerja-kerja berkaitan laut.
Katanya, dia pernah bekerja sebagai petugas di atas kapal dan menjadi pelaut sudah sebati dalam kehidupannya namun selepas bersara dia memilih untuk melakukan pertukangan membina replika perahu layar.
"Walaupun, menjalani kehidupan kampung namun ilmu kelautan yang dimiliki selain minat mendalam terhadap dunia pelayaran membuatkan saya tekad untuk memiliki sebuah kapal layar sendiri.
"Alhamdulillah, dengan memiliki kapal layar sepanjang 10.20 meter dan lebar 3.12 meter ini dapat mengamit memori lebih 20 tahun lalu apabila sering belayar dengan memandu uji kapal layar yang ditempah pemilik dari luar negara.
"Dulu saya akan pandu uji bersama pemilik kapal layar yang biasanya berbangsa Inggeris namun selepas berkuburnya pembuatan kapal layar di Pulau Duyung, saya sudah tidak boleh belayar lagi seperti dulu.
"Sedikit demi sedikit akhirnya tiada lagi tempahan kapal layar di kampung ini dan ia sudah berkubur namun kemahiran yang ada saya curahkan pula dalam penganjuran Piala Monsun (Monsun Cup) yang pernah berlangsung di Kuala Terengganu, satu ketika dahulu," katanya.
Menurut Wan Nordin, dia dipertanggungjawab sebagai seorang petugas teknikal membabitkan kapal layar yang digunakan dalam pertandingan itu.
Katanya, hobi sejak 20 tahun lalu kini bersinar kembali apabila dia memiliki sebuah kapal layar sendiri kerana sebelum ini masanya dihabiskan dengan membuat replika kapal layar dan bot tradisional saja.
Menurutnya, tiga daripada lima anaknya mengikut jejak langkahnya apabila mampu mengemudi kapal layar dan paling ketara anak bongsunya, Wan Nur Fatin Solehah, 21, yang menceburi bidang sukan kapal layar.
"Nur Fatin, pernah mewakili negara dan kini mewakili Kedah dalam acara windsurfing dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) yang berlangsung bulan lalu.
"Alhamdulillah, penduduk setempat tahu minat saya terhadap kapal layar dari muda hingga sekarang dan bagi saya tebing Sungai Terengganu, amat tinggi nilai sentimental kepada dunia pelayaran.
"Walaupun Terengganu khususnya Pulau Duyung, bukan lagi destinasi tersohor dunia pelayaran namun bagi saya nostalgia lalu amat mengamit kenangan dan setahu saya hanya saya seorang kini di pulau ini memiliki kapal layar," katanya.
Menurutnya, selagi masih berupaya dia akan mengabadikan diri dalam dunia pelayaran yang mana Terengganu, satu masa dahulu amat sinonim dengan dunia kelautan yang hebat.
WAN Nordin dari melakukan kerja di atas kapal layar miliknya. FOTO Nazdy Harun
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... n-pada-laut-metrotv |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|