|
Kota Bharu: "Sayu melihat penghuni pondok melaungkan azan di hadapan beberapa rumah yang terbakar sebelum bomba datang membantu," luah Mohammad Zulikhwan Azhar, 24.
Mohammad Zulikhwan adalah antara saksi awal kejadian kebakaran yang memusnahkan 10 rumah di Pondok Terusan, Pasir Tumboh, di sini, 5 petang tadi.
Dia yang terkejut melihat api yang sedang marak terus menelefon pihak bomba bagi mendapatkan bantuan selain bergegas ke lokasi bagi menghulurkan bantuan.
"Nasib baik, ketika kejadian saya dimaklumkan bahawa kesemua penghuni rumah terbabit berada di masjid menunaikan solat Asar.
"Saya berada di lokasi kejadian menyaksikan wajah-wajah penghuni rumah yang terpaksa reda melihat barangan dan harta benda mereka musnah dijilat api.
"Bagaimanapun, keadaan terkawal dan tiada yang bertindak masuk ke rumah kerana akur dengan bahaya dan hanya mampu melaungkan azan sebelum ketibaan pihak bomba," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dia yang berasal dari Kampung Terusan, di sini, berkata, pondok pengajian Islam itu hanyalah berjarak 500 meter daripada kediamannya sekeluarga.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Jainal @ Zainal Madasin berkata, pihaknya menerima panggilan telefon pada 5.03 petang dan terus bergegas ke lokasi kejadian.
"Kejadian membabitkan kebakaran 10 rumah dengan anggaran kemusnahan adalah lebih 90 peratus daripada keseluruhan struktur. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
"Kebakaran dapat dipadam sepenuhnya pada 7.01 malam," katanya
SEPULUH rumah di Pondok Terusan, Pasir Tumboh musnah terbakar. FOTO Ihsan Mohammad Zulikhwan Azhar
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... t-api-marak-metrotv |
|