View: 368|Reply: 0
|
[Terengganu]
Tukang sarung, hulu senjata sukar cari pengganti
[Copy link]
|
|
Mohd Ghazali Mohamad, 37, menunjukkan hulu keris yang siap dibuat. FOTO NAZDY HARUN
Marang: Dimomok dengan unsur mistik mendorong kurangnya minat dalam kalangan golongan muda untuk meneruskan legasi pembuatan hulu dan sarung keris.
Pembuat sarung dan hulu senjata tradisional Mohd Ghazali Mohamad, 37, Kampung Darat Pak Chan di sini, berkata, golongan muda tidak ramai yang ingin meneruskan kerja membuat sarung dan hulu senjata walaupun permintaannya tinggi.
Menurutnya, pelbagai andaian dilontarkan kononnya pembuatan sarung dan hulu senjata tradisional mempunyai unsur mistik adalah tidak benar sama sekali.
"Sejak menceburi bidang pembuatan hulu dan sarung senjata sama ada membuat yang baru atau membaiki yang sedia ada milik pelanggan tidak pernah sekalipun saya diganggu dengan unsur-unsur sedemikian.
"Namun, golongan muda yang terpengaruh dengan khabar yang tidak benar sekali gus menyebabkan industri kraftangan ini sukar untuk mencari pelapis," katanya yang memiliki diploma dalam jurusan mekanikal plastik dari Politeknik Jitra, Kedah.
Menceritakan pengalamannya menceburi bidang pembuatan hulu dan sarung senjata sejak 12 tahun lalu Mohd Ghazali berkata, selepas tamat pengajian di Politeknik, dia pernah bekerja di sebuah kilang plastik di Pulau Pinang selama lima tahun.
Menurutnya, dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan pulang ke kampung untuk menumpukan sepenuh masa melakukan kerja membuat sarung dan hulu senjata.
Katanya, arwah datuk dan ayahnya merupakan seorang pembuat sarung dan hulu senjata sebelum kerja tangan itu diwarisi oleh abangnya dan kemudian diturunkan pula kepadanya.
"Ketika masih bersekolah saya sudah didedah dengan kerja membuat sarung dan hulu senjata, namun ketika itu saya hanya mampu membuat kerja-kerja asas saja.
"Namun, selepas berguru dengan abang, saya kini mampu menyambung legasi pembuatan hulu dan sarung senjata yang sememangnya amat rumit untuk dikuasai," katanya.
Menurutnya, kebanyakan tempahan sarung dan hulu adalah dari jenis keris, manakala rekaan atau corak hulu pula antaranya anak ayam sejuk, pipit teleng, patah tiga, tapak kuda, serindit dan pekaka.
Katanya, setiap hulu yang dibuat dijual dengan harga RM150 hingga RM350 dan setiap minggu dia mampu menyiapkan dua hingga tiga unit hulu dan sarung saja kerana pembuatan yang rumit serta memerlukan ketelitian yang tinggi.
Mohd Ghazali berkata, bagi sarung senjata pula biasanya rekaan yang biasa ditempah antaranya Terengganu, tebeng, sari bulan, buah pauh yang dijual dengan harga antara RM200 hingga RM300 seunit.
"Antara kayu yang digunakan iaitu kayu kemuning, sena, buer, macang hutan, petai belalang dan halban.
"Biasanya pemilik senjata terutama pemilik koleksi akan menghantar kayu mereka sendiri kepada saya untuk dibuat sarung dan hulu namun bagi yang menghantar bilah senjata saja maka saya akan menggunakan kayu yang ada di bengkel ini untuk dibuat sarung dan hulu bagi senjata berkenaan," katanya yang turut melakukan kerja membaiki sarung dan hulu senjata yang rosak.
Menurutnya, dengan sedikit pengalaman yang ada dia mampu membuat pelbagai jenis sarung dan hulu senjata antaranya lawi ayam, tombak, sundang, pedang, keris, badik dan sebagainya namun untuk menyiapkan sarung atau hulu pemilik harus menghantar bilah senjata berkenaan kepadanya.
Katanya, pembuatan sarung dan hulu senjata bukan saja menitik beratkan kecantikan malah keselesaan apabila berada di tangan atau untuk diperagakan.
Tambahnya, minat golongan muda untuk mewarisi pembuatan hulu dan sarung senjata kian berkurangan, sebagai contoh ada individu yang ragu-ragu untuk menyentuh sebilah keris kerana kononnya keris berkenaan mempunyai penunggu.
Justeru, dengan tanggapan yang salah itu semakin hari pelapis dalam industri kraftangan itu semakin berkurangan apabila generasi terdahulu yang menguasai ilmu pembuatannya sudah meninggal dunia.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ukar-cari-pengganti |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|