Alor Setar: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah menghantar 15 anggota daripada Pasukan Respon Bencana Sokongan (PARAS) untuk Misi Bantuan Banjir di negeri Johor, hari ini.
Misi bantuan itu diketuai Leftenan (PA) Azman Amat dan dibantu anggota daripada Daerah Padang Terap.
Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub berkata, pasukan ini digerakkan ke daerah Batu Pahat bermula 4 hingga 10 Mac bagi bantuan khidmat sokongan dalam menyelamat mangsa yang terperangkap di kawasan banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Selain itu katanya, ia juga dari segi sumber kekuatan anggota serta logistik untuk keperluan pengoperasian di sana.
Beliau berkata, selain itu, mereka juga akan melaksanakan tugasan pasca bencana serta tugasan yang diperlukan mengikut keperluan semasa.
"APM Kedah turut menggerakkan aset darat dan air antaranya lori lima tan, bot serta lain-lain peralatan menyelamat bagi kegunaan di kawasan terjejas banjir," katanya dalam satu kenyataan hari ini.