Bandar Baharu: Melukis bukan saja dapat melepaskan tekanan selepas waktu bekerja malah dapat membantu menjana pendapatan dengan hasil yang lumayan.
Bagi anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang, Muhamad Saiful Rusdi Nor Helmi Amri, 29, melalui lukisan, dia dapat berkarya dengan meluahkan apa yang tersirat dalam hati selain dapat mengisi masa lapang.
Katanya, sejak di sekolah menengah dia menyimpan cita-cita untuk menjadi pelukis sehingga sanggup menyambung pengajian di peringkat diploma di Politeknik Ibrahim Sultan Johor Bharu dalam bidang rekabentuk industri.
"Saya hanya akan melukis apabila ada waktu terluang dan lukisan yang agak susah adalah mural atau 3D kerana memerlukan perancangan awal untuk melukis serta mewarna.
"Saya berjaya menyiapkan dua lukisan mural dinding bersama pasukan A di BBP Serdang yang mengambil masa kira-kira dua bulan yang bertemakan "Bomba."
"Tak sangka pula dua lukisan mural ini berjaya membolehkan kami mendapat Johan bagi Pertandingan Mural Antara Balai di Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, tahun lalu," katanya.
Menurut Muhamad Saiful, dia dan rakan-rakannya hanya akan melukis apabila tiada operasi atau ada masa di waktu petang selain menyiapkan pada waktu cuti.
"Lukisan ini nampak mudah tetapi nak menghasilkan warna serta nak lukisan itu hidup bukannya mudah malah kami terpaksa bersatu memberi idea dalam pasukan bagi menyiapkan hasil kerja ini.
"Saya juga banyak mendapat sokongan daripada Ketua BBP Serdang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Faiz Helmi dan Penyelia Pasukan A, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Syed Kamarul Hisyam Syed Yahaya," katanya.
Muhamad Saiful berkata, dia sememangnya bercita-cita untuk menjadi pelukis namun bersyukur apabila diterima bekerja sebagai anggota bomba.