Kepala Batas: Menikmati secangkir kopi panas sambil melihat pemandangan indah di sawah padi pada waktu petang boleh menenangkan jiwa.
Pengalaman itu yang mahu diberikan anak muda dari Kampung Lahar Tiang di sini, Muhammad Zaini Md Radzi, 29, yang menyediakan kopi panas percuma di tepi sawah padi sekitar kampung itu.
Lebih mesra disapa Mat Eni, pemuda itu menyediakan minuman panas yang disediakan atas motosikal yang diubah suai, sejak bulan lalu dan kisahnya turut mendapat perhatian di media sosial.
Mat Eni berkata, minuman kegemaran rakyat Malaysia itu dibancuh sendiri, dengan motosikalnya mempunyai satu kotak di bahagian belakang dijadikan 'meja' minuman, selain menyimpan perkakas.
Katanya, dia tidak menjual air kopi susu itu sebaliknya, sekadar berkongsi minuman berkenaan dengan rakan sekampung yang beriadah pada petang di tepi sawah.
"Konsep ini diilhamkan dari negara jiran, dan ketika saya dan beberapa rakan memancing ikan di sungai di kampung kami, terbit idea untuk minum-minum seperti di negara seberang.
"Itulah sebabnya saya modifikasi motosikal untuk letak beberapa barang dan boleh letak dapur mudah alih untuk menjerang air.
"Sejak itu saya buat kopi dan agih kepada kawan-kawan kampung," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Katanya, aktiviti santai itu hanya dilakukan pada Ahad sahaja kerana mempunyai kerja hakiki iaitu membantu abangnya mengusahakan sawah padi dan memjaga kambing selain pusat kitar semula.

PENDUDUK kampung dan kenalan antara penggemar kopi Muhammad Zaini setiap petang Ahad. FOTO Ihsan Mat Eni dan Firdaus Sejuk.
"Saya cuma bancuh kopi setiap Ahad mengikut kelapangan, bermula selepas Asar sehingga 7 malam. Selalunya untuk rakan saja dan kalau ada orang lalu saya akan pelawa mereka juga.
"Setakat ini saya tak terfikir lagi nak jual kerana tak buat banyak, cuma 15 hingga 20 cawan saja dan saya hanya mahu bagi mereka minum saja, tapi ada juga yang selitkan duit walaupun saya tidak mahu," katanya menamakan kopi itu Kopi Khita.
Menurut Mat Eni, dia sebenarnya bukan penggemar kopi, malah tidak minum minuman berkafein kerana mempunyai masalah usus sebelum ini, tetapi mengakui suka membancuh minuman itu.
"Saya bancuh biasa saja, cuma beri keluarga rasa dan mereka beritahu apa yang perlu ditambah baik. Apabila dapat sukatan bancuhan yang tepat, saya bancuh untuk rakan pula.
"Setakat ini hanya ada kopi kosong dan susu saja. Saya guna 600 gram kopi, sekilogram gula dan dua tin susu (sekali bancuhan)," katanya.
Menurutnya, dia terkejut apabila aktiviti santainya itu tular di media sosial malah segan kerana menganggap kemahirannya membancuh kopi tidak seberapa.