|
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/0619rsbeg_1687141381.jpg)
FOTO HIASAN
Ipoh: Sekumpulan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) menghasilkan gelang penanda beg yang dinamakan sebagai Reminder Art Craft bagi membantu jemaah umrah di tanah suci Makkah daripada masalah tertukar beg atau bagasi.
Penghasilan penanda beg yang menggunakan getah elastik, velcro tape, benang sulam, labuci, manik dan butang membabitkan lima pelajar daripada Fakulti Seni Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK) Upsi bagi memenuhi keperluan kursus Insan Guru Profesional (KPG3013) membabitkan 'Projek Santun Masyarakat'.
Seorang penuntut berkenaan, Muhammad Syahmi Syahbuldin, 23, berkata, idea bagi menghasilkan penanda beg itu tercetus setelah mengadakan sesi kuliah bersama penyelaras kursus, Dr Harleny Abd Arif yang berkongsi pengalaman beliau melaksanakan umrah sebelum ini.
Muhammad Syahmi yang berasal dari Sri Aman, Sarawak berkata, idea itu juga tercetus apabila mereka berjumpa dengan satu agensi yang membawa jemaah untuk mengerjakan ibadah haji dan umrah iaitu Tiram Travel (Tiram Travel) Sdn Bhd cawangan Tanjung Malim pada Mei lepas.
"Mereka memberitahu beberapa masalah yang sering dihadapi jemaah Tiram Travel iaitu antaranya kesukaran untuk mengenal pasti beg masing-masing dan daripada situ tercetusnya idea kami untuk menghasilkan produk berbentuk penanda beg ini yang diberi nama Reminder Art Craft," katanya kepada Bernama.
Muhammad Syahmi berkata, untuk penghasilan produk itu, mereka mengambil masa selama seminggu bagi menyiapkan penanda beg berkenaan sebanyak 50 unit setelah membuat analisis bahan perlu digunakan sebelum bersetuju menggunakan getah elastik sebagai bahan asas produk itu.
Penuntut semester lima jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Seni) dengan Kepujian itu berkata, setiap ahli kumpulan mempunyai peranan masing-masing dalam penghasilan produk, antaranya memotong getah elastik kepada beberapa bahagian dan penghasilan corak, yang mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menyiapkan satu unit penanda beg.
Sementara itu, rakan kumpulannya Al Suhaimi Alsim, 23, berkata, setakat ini mereka hanya menghasilkan 50 unit penanda beg itu, dengan 35 daripadanya diberikan kepada jemaah umrah Tiram Travel pada bulan lepas.
Dalam pada itu, Harleny yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Seni dan Reka Bentuk, FSKIK Upsi berkata, perkara paling penting dalam penghasilan penanda beg itu adalah ia memanfaatkan pelajar berkenaan serta masyarakat secara amnya dan produk itu boleh dihasilkan sekiranya terdapat peluang.
Menurut Harleny, setiap wakil keluarga diberikan produk yang sama warnanya bagi memudahkan pengecaman sekiranya berlaku kekeliruan mengenal pasti beg dalam kalangan jemaah umrah Tiram Travel pada bulan lepas.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -bantu-jemaah-umrah |
|