View: 3283|Reply: 0
|
[Selangor]
Bacaan surah al-Baqarah oleh Muhammad Haziq mengujakan
[Copy link]
|
|
Cyberjaya: Biarpun masih belum mahir membaca Iqra', namun usaha bapanya yang selalu memasang video mengaji dan berzikir berjaya memupuk kemahiran kanak-kanak lelaki berusia empat tahun menghafal surah yang didengari dengan lancar.
Keupayaan Muhammad Haziq Mohd Hafiz membaca surah al-Baqarah ayat satu hingga lima dengan baik mengujakan netizen yang kagum dengan kemahiran kanak-kanak itu.
Malah, video anak sulung daripada dua beradik itu membaca surah berkenaan mendapat komen positif orang ramai selepas bapa, Mohd Hafiz Che Hamid, 32, berkongsi di akaun TikTok miliknya.
Menurut Mohd Hafiz, anaknya masih belajar mengaji menggunakan Iqra' tahap dua, namun dia akan memasang video bacaan al-Quran hampir setiap hari di saluran YouTube membuatkan anaknya suka menghafal surah didengari.
"Muhammad Haziq belum mahir membaca al-Quran dan baru belajar Iqra' tetapi dia suka menghafal surah didengari, hafalan serta bacaannya juga baik selepas diperbetulkan dengan boleh menunjukkan ayat sambil membaca surah itu.
"Sejak dia kecil lagi saya suka pasang audio dan video bacaan al-Quran serta alunan zikir. Saya nampak dia berminat serta selalu mengulang video itu dan mengikuti bacaan itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, kanak-kanak mudah mengingati apa yang didengari dan anaknya juga seperti itu apabila boleh meniru sebutan makhraj huruf dan nada suara daripada video ditontonnya sebelum dia akan menunjukkan surah itu di dalam al-Quran.
"Anak suka mengaji tetapi biasalah kanak-kanak sekarang ini ikut 'mood' dia tetapi setiap hari selepas solat Maghrib saya atau isteri akan mengajar Muhammad Haziq membaca Iqra'.
"Selain surah al-Baqarah ada beberapa surah lain dihafal anak seperti al-Falaq, al-Ikhlas, al-Fatihah dan an-Nas serta beberapa doa yang didengar di YouTube dan saya akan betulkan sebutan kalau ada yang salah," katanya.
Berhubung video TikToknya yang mendapat perhatian ramai Mohd Hafiz berkata, dia tiada niat mahu berbangga dengan keupayaan menghafal anaknya itu sebaliknya ia dikongsi di akaun media sosial untuk disimpan sebagai kenangan.
"Telefon bimbit saya tak boleh simpan banyak memori kerana saiz ruang penyimpanannya terhad. Banyak video anak yang dirakam sebab dia suka mengaji, berzikir dan menyanyi kerana dia suka menghafal apa yang didengarnya.
"Secara tidak langsung video itu dapat sebarkan kebaikan dan menggalakkan orang membaca al-Quran. Semoga ada kebaikan untuk semua yang mendengarnya dan saya juga berterima kasih kerana banyak komen positif diterima dan sangat menghargainya biarpun tidak sempat membalas semuanya," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ad-haziq-mengujakan |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|