|
KHAIRUL Harisin mengetuai bacaan talkin di pusara bapanya yang menjadi mangsa nahas pesawat terhempas di Elmina, Khairil Azwan di Tanah Perkuburan Felda Mempaga 1 hari ini. FOTO Bernama
Bentong: Suasana pilu menyelubungi upacara pengebumian mangsa nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor, Khamis lalu, Khairil Azwan Jamaludin, 43, di tanah perkuburan Felda Mempaga 1 di sini, hari ini.
Terdahulu, ketibaan van yang membawa jenazah Allahyarham Khairil Azwan tiba di kediaman ibu bapanya di Felda Mempaga 1 di sini kira-kira 12.55 tengah hari dengan diiringi kenderaan polis disambut ahli keluarga dan rakan terdekat Allahyarham.
"Terima kasih kepada semua yang hadir dan doakan ayah masuk syurga," kata anak sulung Allahyarham, Khairul Harisin, 14, selepas mengimamkan solat jenazah dan mengetuai bacaan talkin bagi perjalanan terakhir bapanya.
Jenazah Allahyarham Khairil Azwan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Mempaga 1 di sini pada 1.50 tengah hari dan antara yang hadir untuk penghormatan terakhir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Peramu Jaya Datuk Mohamad Nizar Mohd Najib, ahli keluarga serta kenalan.
Khairul Harisin ketika ditemui pemberita berkata kali terakhir dia berjumpa ayahnya mdua minggu lalu bersama adiknya Khairul Ikhwan, 12.
"Ayah sering berpesan supaya menjadi orang berguna dan belajar rajin-rajin," kata pelajar sebuah sekolah tahfiz di Sentul, Kuala Lumpur.
Dalam insiden Khamis lalu, pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor, mengakibatkan 10 individu maut termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun.
Sementara itu, Mohamad Nizar turut berkongsi pengalamannya bersama Allahyarham Johari terutama berkaitan kerjaya mereka sebagai Adun.
Beliau menyifatkan Allahyarham Johari bagaikan seorang abang yang sering berkongsi pandangan dan pengalaman kerana mereka sama-sama, semasa pertama kali menjawat jawatan sebagai Adun dan Exco dalam kerajaan negeri.
"Kita sama-sama naik dan belajar dengan pantas... Beliau (Johari) senior, berpengalaman, proaktif dan cepat dalam membuat keputusan. Ini memberikan contoh yang baik kepada saya sebagai pemimpin muda. Kita kehilangan seorang tokoh yang sangat dinamik dan rajin," katanya.
Beliau berkata pengalaman menaiki motosikal bersama Allahyarham ketika program di Ulu Tembeling di sini baru-baru ini sudah pasti meninggalkan kesan kepadanya.
"Kami seperti abang dan adik dan sudah tentu pemergian Allahyarham sangat dirasai," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ulung-khairil-azwan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|