|
Bot PERKASA milik Maritim Malaysia mengiringi perahu sekoci digunakan tiga nelayan tempatan yang ditemui selamat selepas hanyut lebih 13 jam akibat kehabisan minyak ketika memukat di luar Kuala Kemasik.
BACHOK: Unjam buluh milik pengusaha Thailand menjadi penyelamat kepada tiga nelayan yang hanyut ketika memukat ikan di perairan Kemasin di sini.
Nelayan, Rohaimi Ahmad, 47, dan anak, Nik Muhammad Syafiqrullah, 21, serta Muhammad Amir Zulfikar Che Wil, 29 selamat tiba di jeti Kuala Kemasin jam 11 pagi tadi.
Rohaimi berkata, ketika kejadian dia memukat ikan di lokasi biasa mereka pergi sebelum menyedari perahu sekoci yang dinaiki kehabisan minyak kira-kira jam 3 petang.
Katanya, mereka cuba melempar sauh ke laut, namun tetap hanyut sehinggalah terjumpa satu unjam untuk berpaut.
"Keadaan cuaca ketika itu angin kuat, selepas beberapa lama perahu hanyut kami ternampak unjam buluh yang 'pelik' dan buat keputusan untuk ikat bot pada unjang ini.
"Selepas diteliti rupanya unjam itu menunjukkan kami sudah berada di sempadan Thailand," katanya ketika ditemui di Jeti Kuala Kemasin, di sini, hari ini.
Rohaimi berkata, mereka bergantung pada unjam buluh itu daripada jam 8 malam hingga jam 9 pagi keesokan hari (Isnin) sebelum ada sebuah bot melalui kawasan itu dan membantu memberikan 10 liter minyak diesel untuk perahu mereka.
Katanya, sebaik bot kembali hidup, mereka terus mencari daratan terdekat dan mendarat di Pantai Belawan, Takbai.
"Penduduk di situ sangat membantu kami, sehingga berjaya hubungi penyelamat di Malaysia," kata bapa kepada sembilan anak ini.
Muhammad Amir pula berkata, sepanjang 13 jam berpaut pada unjam buluh, mereka hanya bertawakal kepada Allah SWT selepas tiada bot melalui kawasan mereka.
Katanya, dia hanya mampu melaung meminta tolong sehingga kehabisan suara.
"Cuaca memang berjerebu dan kami tak nampak apa-apa jalan, hanya berserah bot hanyut, namun kejadian ini tidak melemahkan semangat saya sebagai nelayan sejak usia 12 tahun," katanya yang akan tetap turun ke laut esok.
Isteri Rohaimi, Nik Suliana Bikri Kama, 41, berkata dia bersyukur apabila mengetahui suami dan anak sulungnya terselamat dalam kejadian.
Katanya, dia mengetahui mereka terselamat dan berada di Thailand kira-kira jam 2 petang daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Tiga nelayan itu selamat selepas dipercayai hilang ketika memukat ikan ketika turun jam 3 pagi pada Ahad dan terputus hubungan sehingga jam 10.00 malam semalam.
Operasi carilamat (SAR) mangsa disertai Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Perikanan dan nelayan tempatan.
https://www.bharian.com.my/berit ... njang-13-jam-hanyut |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|