|
AMINUDDIN melawat gerai jualan pada Majlis Perasmian Program FAMA Fest@Terengganu. FOTO Zaid Salim
Kuala Terengganu: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan memperluaskan pasaran petai di beberapa negara susulan sambutan baik pada program Ekspo Malaysia Fest 2023 di Singapura pada Julai lalu.
Pengerusi Fama, Aminuddin Zulkipli berkata, Fama bercadang meluaskan pasaran hasil pertanian kategori ulam itu ke beberapa negara lain seperti Vietnam, Kemboja dan Hong Kong.
Katanya, selain petai, beberapa produk lain seperti pes makanan serta produk berasaskan minuman juga antara yang bakal menembusi pasaran di negara berkenaan.
"Ketika di Singapura, kita berjaya menjual sebanyak 8,000 papan petai segar dan bercadang meluaskan pasaran petai ke Vietnam dan beberapa negara lain selepas ini," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Fama Fest@Terengganu, di sini, semalam.
Sementara itu, beliau berkata, penganjuran Fama Fest 2023 sebelum ini diadakan di Sarawak, Johor, Perak dan Pulau Pinang sejak Februari lalu dengan penyertaan lebih 300 usahawan daripada seluruh negara.
Menurutnya, pihaknya berjaya mengutip sebanyak RM5 juta hasil nilai jualan produk di empat negeri itu.
Katanya, jumlah itu adalah hasil sumbangan jualan produk berasaskan industri makanan asas tani, buah-buahan dan florikultur dengan kehadiran seramai 200,000 pengunjung.
"Terengganu adalah lokasi kemuncak program bagi tahun ini dan kita menyasarkan hasil jualan sebanyak RM600,000 lagi pada penganjuran Fama Fest 2023 di sini selama lima hari bermula semalam hingga Selasa ini," katanya.
Aminuddin berkata, Fama Fest bukan hanya membantu menjana pendapatan usahawan malah usahawan berpeluang menembusi produk mereka ke pasaran luar negara.
Menurutnya, wakil pengeksport luar negara akan menyertai program di negeri ini bagi membantu usahawan memasarkan produk mereka.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... asaran-antarabangsa |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|