|
Ismail Mat menunjukkan keadaan dalam Masjid Nur Sa’adah yang terbengkalai kerja baik pulih di Kampung Sungai Ranggam, Mukim Kota Setia dekat Pasir Salak, Perak - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
PASIR SALAK: Penduduk Kampung Sungai Ranggam, Mukim Kota Setia dekat sini kecewa apabila kerja-kerja baik pulih bangunan Masjid Nur Sa’adah di kampung itu terbengkalai sejak 10 tahun lalu.
Penduduk mendakwa, kerana lama terbengkalai, banyak strukturnya yang sudah retak seperti lantai, dinding dan tiang serta didapati berlaku mendepan pada bahagian lantai selain ditumbuhi semak samun.
Bekas bilal masjid tersebut, Ismail Mat, 85, berkata, penduduk kesal dan sedih melihat keadaan masjid itu yang terbengkalai baik pulihnya sehingga sukar untuk mereka menunaikan solat terutama solat Jumaat.
Katanya, untuk itu penduduk membina sebuah masjid kecil yang hanya memuatkan 100 jemaah menunaikan solat Jumaat.
“Untuk solat Jumaat, ramai jemaah dari kampung ini yang solat di masjid kampung lain kerana masjid mini di kampung ini tidak mampu menampung jumlah jemaah yang ramai.
“Beginilah keadaan kami setiap kali solat Jumaat sementara menunggu masjid di kampung ini siap,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Ismail, sudah lama beliau mendengar kemungkinan masjid ini akan diroboh dan dibina baharu tapi banyak kali tertangguh, dikatakan disebabkan kos.
“Bagi diri saya kalau nak bina baharu pun baik, asalkan masjid ini siap dan boleh digunakan jemaah di sini.
“Lagipun baik pulih masjid ini sudah lama tertangguh menyebabkan strukturnya banyak yang sudah rosak, struktur kayu sudah dimakan anai-anai, bekalan elektrik dan air pun sudah dipotong,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Jaafar Muhamad ,57, berkata, kajian perlu dilakukan sama ada bangunan yang terbengkalai itu sesuai atau tidak untuk diteruskan baik pulih, diroboh atau dibina bangunan baharu.
“Saya berharap kerajaan melihat masalah kami di sini, masalah masjid ini sudah lama terbiar. Kami memerlukan masjid untuk keselesaan kami beribadah,” katanya. – UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasion ... pulih-terbengkalai/ |
|