View: 4762|Reply: 0
|
[Selangor]
130 sukarelawan tabur bakti di rumah warga emas
[Copy link]
|
|
Penghuni warga emas menerima layanan kesihatan dan sokongan moral daripada sukarelawan daripada UKM, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor dan Kpj Healthcare sempena Program Khidmat Masyarakat Bagi Menyantuni Warga Emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Semenyih. FOTO AIZUDDIN SAAD
Semenyih: Seramai 130 sukarelawan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan KPJ terbabit menjayakan Program Khidmat Masyarakat bagi Menyantuni Warga Emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Kampung Sungai Purun, di sini, hari ini.
Program anjuran Kelab Kebajikan Warga Perpustakaan (KKWP), Perpustakaan Tun Seri Lanang UKM itu diadakan bersempena sambutan Hari Warga Emas Antarabangsa yang diadakan pada 1 Oktober setiap tahun, sesuai dengan pengisytiharan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, Hazmir Zainal berkata, penganjuran program itu untuk mendekatkan lagi warga UKM, PPAS, penaja dan pasukan sukarelawan dengan masyarakat setempat bagi memupuk rasa kasih dan prihatin terhadap sesama insan khususnya warga emas.
"Program ini juga dapat membantu sukarelawan dalam mengaplikasi pengetahuan, kemahiran dan amalan murni serta semangat tolong-menolong dalam bentuk tenaga kerja, pengetahuan, kewangan atau kemahiran tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan ideologi politik.
"Pelaksanaan program bersama warga emas ini amat bertepatan dengan pelbagai sasaran organisasi dan peringkat. Ia termasuklah teras strategik kedua Malaysia MADANI iaitu 'Menjamin kesejahteraan insan ditunjangi prinsip adil dan ihsan," katanya ketika ditemui di sini.
Program ini turut mendapat kerjasama Perpustakaan Tun Seri Lanang UKM (PTSL), Pusat Jaringan Industri & Komuniti (I-KOM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).
"Setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Penganjur serta semua yang terbabit kerana bertungkus lumus dari peringkat awal hingga pelaksanaan program serta yang dapat meluangkan masa dan tenaga untuk hadir sebagai sukarelawan pada hari ini," katanya.
Pengerusi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Azman Rasman berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak atau pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menghulurkan bantuan dan sumbangan.
"Terima kasih pada semua yang menganjurkan program ini. Saya kagum atas inisiatif yang dibuat. Mereka bergotong royong cat bangunan, beri peralatan keperluan seperti lampin pakai buang, susu, cadar, TV dan barangan harian.
"Kehadiran mereka bukan saja menceriakan penghuni di sini tapi juga pusat jagaan. Macam kita tahu, penghuni di sini tiada waris, sebatang kara. Malah mereka tinggal secara percuma. Kos penyelenggaran di sini RM65,000 sebulan daripada sumbangan orang ramai. Jadi, saya mengalu-alukan pada mana-mana NGO untuk datang ke sini," katanya.
Sementara itu, sukarelawan dari Hospital Pakar KPJ Kajang, Nurul Nadiah Zainudin, 29, berkata, dia berbesar hati dapat terbabit dalam program seumpama ini.
"Bersama KPJ Kajang saya memang aktif sebagai sukarelawan dalam menjayakan program sebegini. Cuma, di pusat penjagaan ini adalah kali pertama. Amat berbesar hati apabila kami dijemput untuk bekerjasama. Dapatlah kami memberi khidmat dan bantuan dari segi pemeriksaan kesihatan dan konsultasi daripada kakitangan perubatan.
"Secara peribadi, saya tersentuh melihat keadaan mereka. Terusik perasaan bila lihat wajah mereka yang gembira sebab dapat kunjungan. Di sini mereka sesama mereka saja.
" Harap kunjungan ini beri impak positf pada mereka juga," katanya.
Seorang lagi sukarelawan Meor Rais Meor Rafeq, 32, berkata, objektif program ini tercapai dengan jayanya.
"Ini bukan pertama kali saya menjadi sukarelawan. Alhamdulillah, hari ini semua okay dan pasukan berjaya santuni warga emas di sini. Kiranya, objektif penganjur tercapai dan KPJ Kajang pun dapat lakukan pemeriksaan kesihatan," katanya.
Selain aktiviti gotong royong dan mengecat bangunan, penganjur turut menyerahkan sumbangan dalam bentuk wang yang berbaki selepas tamat program akan diselaraskan untuk serahan kepada Pusat Jagaan Mahmudah dalam masa yang terdekat.
Selain itu, penganjur juga menyerahkan barangan keperluan harian dan kelengkapan, televisyen LCD bersaiz 65 inci oleh Syarikat ETIKA dan jamuan program dengan anggaran keseluruhan lebih RM20,000 daripada pelbagai pihak.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... di-rumah-warga-emas |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|