GenreSeram, Misteri dan Ngeri
Ulasan
Selepas kejayaan meraih kutipan lebih dari RM2.8 juta menerusi filem Histeria, pengarah terkenal, James Lee tampil dengan filem komedi seram berjudul, Sini Ada Hantu.
Filem pertama hasil kerjasama antara Astro Shaw dan Double Vision ini menampilkan tiga cerita hantu dalam satu filem di mana ia menggabungkan kisah-kisah benar hantu yang berlaku di Malaysia.
Menerusi Sini Ada Hantu, penonton dapat menyaksikan tiga kisah hantu yang popular di negara kita iaitu Hantu Pokok Pisang, Hantu Nombor Ekor dan Hantu Jepun. Idea kreatif James ini dilihat mencetuskan fenomena baru dan segar dalam industri perfileman negara.
Walaupun filem ini diterajui oleh nama-nama yang agak kurang popular, namun filem ini berjaya membawa unsur seram dan komedi dengan baik sekaligus membuatkan penonton yang datang melihatnya berpuas hati.
Gua pasti penonton juga tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat Fasha Sandha menjadi hantu pokok pisang serta disolek dengan hodoh. Secara keseluruhan, Sini Ada Hantu boleh dikatakan antara garapan komedi seram yang berjaya menghiburkan penonton.
Sinopsis
Sini Ada Hantu bermula apabila dua orang pemandu van, Ah Meng dan Bakri yang telah ditugaskan pada saat akhir menghantar mayat datuk kepada majikan mereka di sebuah kampung di mana mereka perlu sampai ke destinasi keesokan paginya. Pada mulanya mereka menolak tapi apabila ditawarkan dengan upah yang lumayan mereka bersetuju.
Semasa dalam perjalanan, radio van tidak berfungsi bagi menghilangkan kebosanan dan rasa mengantuk, mereka berdua bercerita tentang kisah seram yang pernah mereka dengar. Bakri memulakan kisahnya ‘Hantu Pokok Pisang’… kisah wanita cantik yang menjelma dari pokok pisang.
Ah Meng mentertawakan Bakri dan mengatakan hantu melayu tak logik, Ah Meng mula menceritakan kehebatan hantu Cina pula iaitu ‘Hantu Nombor Ekor’ di mana kisah empat lelaki yang mengalami masalah kewangan lalu memuja roh untuk memberikan pertolongan dengan memberi nombor ekor.
Apabila Ah Meng habis bercerita, Bakri memberitahu Ah Meng cerita hantu cina lagi tak logik. Bakri memberitahu Ah Meng yang dia mempunyai cerita lain, tapi kali ini cerita ini mengisahkan hantu dari luar negera. Ah Meng mula bercerita tentang seorang pelajar, Yakob yang dipindahkan ke sekolah baru kerana masalah disiplin.
Yakob kemudian mendapati mereka semua takut pergi ke tandas di waktu malam kerana dipercayai tempat tersebut pernah dijadikan pangkalan tentera Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua. Jelmaan hantu Jepun sering berkeliaran pada waktu malam.
Ketika Ah Meng ingin menceritakan kisah hantu yang lain, van mereka yang melalui ladang kelapa sawit yang gelap-gelita itu tiba-tiba rosak. Ah Meng terpaksa mencari bantuan, sementara Bakri menunggu keranda tersebut. Apabila Ah Meng kembali ke van tanpa bantuan yang sepatutnya, sesuatu telah berlaku...
Apa yang terjadi pada Ah Meng dan Bakri? Berjayakah mereka menyelesaikan tugas mereka? Jangan ketinggalan menonton Sini Ada Hantu yang ditayangkan di 54 pawagam seluruh negara bermula 10 Febuari 2011.