CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3264|Reply: 0

[Wilayah Persekutuan] Biskut air tangan anak syurga

[Copy link]
Post time 22-11-2023 11:06 AM | Show all posts |Read mode

SEBAHAGIAN pelatih OKU yang menjadi tulang belakang penghasilan pelbagai jenis biskut dan pastri Anakkita.cookies

Kuala Lumpur: Tiada lebih membanggakan bagi individu bergelar guru apabila melihat anak didik mereka cemerlang dalam bidang akademik dan berjaya dalam profesion diceburi.

Begitu harapan Intan Hazlina Shamsul Badri, 43, guru pendidikan khas di sebuah sekolah menengah di Kamunting, Perak untuk melihat pelajarnya terdiri daripada golongan orang kurang upaya (OKU) berjaya seperti pelajar lain.

Namun, bagi anak kelahiran Ipoh, Perak ini, apa yang dialami oleh pelajarnya adalah jauh daripada apa yang diharapkan.

Sepanjang kira-kira 14 tahun menjadi guru pendidikan khas, kebanyakan bekas pelajarnya yang juga OKU pembelajaran seperti lembam, autisme, sindrown Down, Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) atau Kecelaruan Tumpuan dan Hiperaktifselain pekak dan bisu, bukan sahaja sukar mendapat pekerjaan, malah turut menjadi mangsa diskriminasi.



Di tempat kerja, mereka tidak dilayan dengan adil, tidak dihormati serta berdepan dengan stigma bukan sahaja daripada majikan, malah rakan sekerja bahawa golongan OKU tidak berupaya menghasilkan kerja terbaik.

"Mereka mengadu sering dibuli dan kebanyakannya tiada majikan yang berani menggajikan OKU, selain ada juga majikan yang tidak membayar gaji.

"Atas dasar itu, saya nekad mengambil inisiatif menyediakan tempat serta peluang untuk bekas pelajar saya belajar dan bekerja," katanya yang kini menetap di Taiping, Perak ketika dihubungi.

Memulakan perusahaan membuat pelbagai jenis biskut pada Julai 2020 yang dijenamakan dengan anakkita.cookies, tekad Intan Hazlina untuk membantu golongan istimewa ini akhirnya membuahkan hasil apabila perniagaan yang bermula di rumah berkembang maju.

Anakkita.cookies kini mempunyai bakeri sendiri yang beroperasi di Jalan Tupai dan sambutan diterima begitu memberangsangkan sehingga turut mendapat permintaan dari luar Perak, sekali gus membuktikan hasil kerja anak-anak istimewa ini juga berkualiti, menepati cita rasa dan mereka juga mampu berdikari sekiranya diberi peluang.

"Antara faktor yang turut mendorong saya memulakan perniagaan ini adalah semasa diuji dengan kehilangan anak keempat pada 2018 yang baharu berumur satu tahun 11 bulan kerana masalah kesihatan tetapi saya perlu bangkit, terus kuat.

"Syukur ketika ini, kami mempunyai 20 pelatih OKU sepenuh masa iaitu 14 lelaki, enam wanita yang berusia 17 hingga 36 tahun dan mereka tinggal di sekitar Taiping. Menjadi harapan saya memiliki kilang pertama yang dapat menggajikan pekerja OKU sepenuhnya," katanya.

Hakikatnya, bukan mudah untuk wanita ini mencapai ke tahap yang dinikmati sekarang.

Mengakui awal perjalanan perniagaannya, sambutan diterima agak perlahan disebabkan kekangan masanya sebagai seorang guru selain turut berhadapan dengan krisis pandemik Covid-19.

Beliau yang ketika itu baharu sahaja menandatangani perjanjian sewa kedai dan membayar deposit serta utiliti selama tiga bulan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, hanya mampu bertahan selama tiga bulan dan akhirnya terpaksa beroperasi di rumah bagi mengelakkan kerugian barang mentah yang sudah dibeli.

Biarpun begitu, ini bukan penghalang bagi Intan Hazlina yang tidak putus semangat untuk membantu anak didiknya sehingga beliau memiliki bakeri sendiri yang diusahakan sepenuhnya oleh golongan OKU dan mendapat respons daripada seorang pempengaruh terkenal di media sosial.

"Sejak itu, tempahan diterima banyak, sampai kami tidak menang tangan. Kebanyakannya daripada pelanggan kawasan sekitar, agensi kerajaan dan swasta. Kami juga banyak menerima tempahan dari luar Perak melalui penjualan dalam talian.

"Apabila banyak tempahan, rakan-rakan saya yang juga guru turut menjadi sukarelawan dan membantu kami," katanya yang memulakan perniagaan berkenaan dengan modal sebanyak RM50,000 menerusi pinjaman peribadi serta bantuan daripada keluarga.

Menghasilkan pelbagai jenis biskut seperti signature cookies, sea salt choc chips, bangkit cheese, cranberries cornflakes, roti dan kek, ibu kepada lima orang cahaya mata ini amat menitikberatkan kualiti agar biskut yang dihasilkan menepati cita rasa pelanggan.

Malah, beliau tidak mahu masyarakat membeli biskut atas alasan simpati dan kerana itu Intan Hazlina nekad mengubah stigma yang melabelkan produk OKU sebagai 'kelas bawah', di samping ada yang berpandangan sinikal dan menganggapnya menggunakan golongan tersebut untuk mengaut keuntungan.

Biarpun gembira dengan pencapaian anakkita.cookies, namun wanita ini mengakui bukan mudah untuk mengendalikan pekerja OKU kerana ia menuntut kesabaran tinggi dalam mengajar serta melatih mereka.

Malah, bukanlah situasi yang asing apabila kesemua biskut dihasilkan mereka rosak kerana tidak masak, tidak gebu dan keras disebabkan ada yang menutup gas ketuhar gelombang mikro (oven) terlalu awal hanya semata-mata ingin menjimatkan penggunaan elektrik.

Selain ada yang terlalu komited bekerja sehingga tidak mahu cuti dan balik ke rumah selepas waktu kerja, namun kesemua ragam pekerja itu dihadapi dengan tenang.

https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -tangan-anak-syurga
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

25-1-2025 01:48 PM GMT+8 , Processed in 0.037392 second(s), 11 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list