View: 16709|Reply: 0
|
[Selangor]
Ratusan si bulus penghibur hati 'Papa','Mama'
[Copy link]
|
|
Pasangan suami isteri, Nor Izwan Asli dan Ernani Hamis menyewa rumah bagi memelihara kucing jalanan yang terbiar dikediaman rumah sewa di Kajang. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Kajang: "Ini bukan rumah perlindungan kucing, tetapi rumah 'anak' kami kerana ia juga layak disayangi dan disantuni walaupun hanya haiwan."
Begitu kata Ernani Hamis, 38, apabila sanggup menyewa empat rumah untuk menempatkan hampir 600 kucing dengan 90 peratus daripadanya baka kampung dan haiwan jalanan yang diselamatkan.
Kerana kasih tanpa sempadan terhadap kucing, Ernani, 38, bersama suami, Nor Izwan Asli, 40, melakukan 'pengorbanan' itu sejak sembilan tahun lalu.
Ernani berkata, mereka menyewa rumah di Cheras, Putrajaya, Kajang Prima dan Gelang Patah, Johor untuk menempatkan ratusan kucing serta sebahagian haiwan itu juga ditempatkan di rumahnya sendiri di Puchong.
Menurutnya, hampir keseluruhan kucing peliharaan juga sudah dimandulkan secara berperingkat dengan semua haiwan itu terbuka untuk dipelihara selain sebuah rumah dibuka untuk lawatan orang ramai.
"Saya dan suami memang suka kucing, malah hati saya mudah tersentuh melihat kucing yang sakit dan tidak berdaya berada di jalanan tanpa sumber makanan. Semua kucing pelbagai baka ini termasuk baka cantik dan dikutip di jalanan atau pemilik mereka sudah meninggal dunia.
"Keutamaan kami adalah anak kucing, sakit dan tidak berdaya akan diambil untuk ditempatkan di rumah ini. Ketika dikutip kucing itu memang tidak terurus, kurus, berkurap dan tidak comel, tetapi selepas dijaga di sini semua berubah 'imej'.
"Kucing yang sudah sihat dan jika ada yang mahu mengambilnya untuk dijadikan haiwan peliharaan, memang kami alu-alukan tetapi akan memastikan individu berkenaan boleh dipercayai," katanya.
Ernani yang berniaga sendiri berkata, mereka akan membawa pulang kucing bunting, sakit, kurang upaya dan anak kucing kerana bimbang keselamatan mereka jika berterusan berada di luar kerana mengakui hatinya tidak tenang.
"Kebanyakan kucing ada sudah berusia, tetapi pada saya biarlah mereka kekal di sini berbanding di jalanan dan biarlah mereka mati pun di sini. Kucing ini juga dianggap seperti 'anak', malah kami membahasakan diri sebagai 'mama' dan 'papa'.
"Ini tempat saya menghiburkan hati sementara kami masih belum mempunyai anak sendiri, namun andai suatu hari nanti diberi rezeki zuriat, kasih kepada haiwan ini tidak akan berkurang dan masih tetap akan jaga mereka," katanya.
Sementara itu, Nor Izwan berkata, mereka menggunakan dana sendiri untuk perbelanjaan kucing dan turut menerima bantuan individu dengan perbelanjaan bulanan mencecah lebih RM15,000 termasuk gaji pekerja.
Menurutnya, biarpun kos pengurusan tinggi, namun demi kasih kepada haiwan jalanan itu mereka berusaha menyediakan tempat terbaik sebagai perlindungan untuk semua kucing yang diselamatkan dengan dibantu lima pekerja.
"Kami mengusahakan hotel kucing di Putrajaya dan turut melakukan grooming (mandian dan dandanan kucing) dari rumah ke rumah atau di premis kami. Ini kelangsungan hidup kami dan untuk semua kucing peliharaan.
"Kucing-kucing ini akan diberikan makanan kering setiap hari, manakala ayam rebus dan telur ayam kuning setiap seminggu dan sebulan. Tetapi saya akui dalam situasi ekonomi sekarang dan harga makanan kucing juga naik menyebabkan kami perlu berjimat," katanya.
Katanya, dia berharap diberikan kesihatan yang baik untuk menjaga haiwan itu, namun mengakui sudah membuat persiapan termasuk meminta keluarga yang juga pencinta haiwan menguruskan kucing itu jika mereka sudah tiada.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... hibur-hati-papamama |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|