Gambar fail menunjukkan Messi menjulang trofi yang dimenangi Argentina selepas menewaskan Perancis pada perlawanan final Piala Dunia 2022 di Stadium Lusail, Doha. — Gambar AFP
BUENOS AIRES: Lionel Messi tidak menolak satu lagi kemungkinan untuk menjulang Piala Dunia bersama Argentina pada 2026 walaupun mengakui masa sedang menentangnya.
Messi, yang baru-baru ini memenangi Ballon d’Or kelapan, menjulang Piala Dunia hampir setahun lalu selepas membintangi Argentina pada perlawanan akhir menentang Perancis di Doha.
Ketika itu, pemain berusia 36 tahun itu telah mencadangkan bahawa kejohanan di Qatar adalah yang terakhir untuknya dan dia tidak akan hadir untuk kejohanan seterusnya yang akan dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Tetapi setelah berpindah ke kelab Liga Bola Sepak Utama (MLS), Inter Miami dan terus beraksi untuk pasukan kebangsaan dalam kelayakan untuk 2026, dia berkata pintu masih terbuka.
“Saya tidak memikirkan tentang Piala Dunia dan saya tidak menjamin 100 peratus bahawa saya tidak akan ke sana kerana apa-apa boleh berlaku. Kerana usia saya, kemungkinan besar saya tidak akan ke sana. Kita lihatlah nanti,” kata Messi dalam temu bual dengan berita Star+ dari Argentina.
Kapten Argentina itu berkata dia kini memberi tumpuan kepada Copa America yang akan diadakan di Amerika Syarikat pada Jun.
“Mungkin kami akan berjaya di Copa America dan segala-galanya akan berjalan lancar untuk kami teruskan. Mungkin tidak. Secara realistiknya ia sukar,” katanya mengenai peluang penampilan keenam berturut-turut dalam Piala Dunia.
Messi berkata dia akan menjadi “orang pertama yang tahu jika saya boleh berada di sana dan jika saya tidak boleh. Saya juga sedar bahawa saya telah pergi ke liga yang lebih mudah. Tetapi ini semua tentang aspek peribadi dan cara kita menanganinya dan bagaimana kita bersaing.
“Selagi saya rasa sihat dan boleh terus menyumbang, saya akan melakukannya. Hari ini, saya fikirkan untuk ke Copa America. Selepas itu, masa akan menentukan sama ada saya berada di sana atau tidak.
“Saya akan tiba pada usia yang, biasanya, tidak membenarkan saya bermain di Piala Dunia. Saya pernah berkata, saya tidak fikir saya akan bermain di sana.
Selepas Piala Dunia ia kelihatan seperti saya bersara dan kini ia sebaliknya. Sekarang saya mahu bermain di sana lebih daripada sebelumnya,” tambahnya. — AFP
|