View: 9252|Reply: 0
|
Nasib Ten Hag, United di hujung tanduk
[Copy link]
|
|
Reaksi Erik ten Hag selepas United tewas kepada Bournemouth di Old Trafford. - AFP
MANCHESTER, England: Nasib Manchester United dalam Liga Juara-Juara musim ini bergantung kepada kunjungan Bayern Munich ke Old Trafford, dengan penyingkiran awal di Eropah pastinya menyebabkan masa depan pengurus Erik ten Hag menjadi tanda tanya.
Pengendali dari Belanda itu cuba mempertahankan selepas kemenangan ke atas Chelsea minggu lalu dengan musim United belum mencapai tahap krisis.
Namun impian Ten Hag untuk menjadikannya titik peralihan tidak menjadi kenyataan apabila kekalahan 0-3 di laman sendiri di tangan Bournemouth Sabtu lalu menyebabkan mereka semakin bermasalah.
Red Devils menghuni tangga keenam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tujuh kekalahan daripada 16 perlawanan pertama mereka.
Ketika mereka masih mempunyai masa untuk bangkit memburu empat tangga teratas liga domestik, perjuangan mereka dalam Liga Juara-Juara lebih mendesak.
Hanya kemenangan ke atas juara Jerman awal awal pagi Rabu ini memberikan United sebarang peluang untuk layak ke pusingan 16 terakhir malah mereka perlu mengharapkan ihsan FC Copenhagen dan Galatasaray seri pada perlawanan terakhir Kumpulan A.
United masih bernasib baik mampu mengintai peluang ke peringkat kalah mati selepas hanya mengumpul empat mata dalam lima perlawanan pertama mereka.
Tiada pasukan Inggeris pernah dibolosi sebanyak 14 gol seperti dialami anak buah Ten Hag dalam lima perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.
"Kami benar-benar tidak konsisten. Kami mempunyai keupayaan untuk melakukannya, tetapi anda perlu melakukannya setiap perlawanan dan setiap tiga hari.
"Saya fikir sebagai satu skuad kami tidak cukup konsisten dan kami perlu bekerja sebagai satu skuad untuk memperbaikinya," kata Ten Hag selepas Bournemouth meraikan kemenangan sulung mereka di Old Trafford penuh bergaya.
Bayern mungkin sudah memastikan tempat ke pusingan 16 terakhir sebagai juara kumpulan tetapi mereka perlu membuktikan sesuatu selepas dibelasah 5-1 oleh Eintracht Frankfurt Sabtu lalu.
Kali terakhir Bayern kalah aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara adalah enam tahun lalu.
Kapten United, Bruno Fernandes berkata, pasukannya mesti "melakukan tugas mereka" dan berharap bantuan di Copenhagen. – AFP
https://www.bharian.com.my/sukan ... ed-di-hujung-tanduk |
|
|
|
|
|
|
| |
|