Seorang pegawai penyiasat berpangkat Inspektor dibawa ke Mahkamah Majistret Tumpat hari ini untuk prosiding reman.
TUMPAT – Seorang pegawai penyiasat berpangkat Inspektor direman tujuh hari selepas disyaki merogol pengadu yang datang membuat laporan di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di sini kelmarin.
Perintah reman yang bermula hari ini sehingga Isnin depan terhadap pegawai polis berusia 38 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi di Mahkamah Majistret Tumpat di sini hari ini.
Tahanan reman itu bagi membolehkan pegawai polis tersebut disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
Semasa prosiding reman berlangsung, peguam yang mewakili pegawai polis itu, Mohd. Firdaus Zainal Abidin membantah permohonan tahanan reman terhadap anak guamnya.