DUNGUN: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan sebanyak 59,037 permohonan gantian kad pengenalan di seluruh negara dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.
Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias berkata daripada jumlah itu, 55,504 permohonan gantian akibat kecuaian manakala bakinya 2,575 lagi bagi kategori jenayah serta bencana seperti banjir, kebakaran dan kemalangan (958).
Menurutnya, sepanjang tahun lalu, sebanyak 289,172 permohonan dengan gantian akibat kecuaian merekodkan jumlah tertinggi iaitu 270,068, diikuti kategori jenayah (14,22) dan bencana (4,878).
Katanya, Selangor merekodkan jumlah permohonan gantian tertinggi dalam tempoh Januari 2023 hingga Februari lalu iaitu membabitkan 54,809, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (49,762) dan Johor (43,342).
"Permohonan akibat faktor kecuaian paling banyak diterima seperti tertinggal di atas motosikal, bagi kepada pengawal keselamatan dan lupa ambil serta kehilangan apabila berada di satu-satu tempat.
"Ia sepatutnya tidak berlaku tetapi itu realitinya. Jadi di peringkat JPN, sekiranya kehilangan kali pertama tidak memerlukan laporan polis tetapi bayaran RM100 tetap dikenakan manakala bayaran RM300 dikenakan untuk permohonan kali kedua berserta laporan polis.
"Bagi kehilangan kali ketiga, bayaran dikenakan bersama laporan polis selain siasatan akan dibuat JPN bagi mengesan sekiranya ada unsur-unsur penjualan kad pengenalan dan sebagainya.
"Selain itu, golongan kurang upaya dan gelandangan turut menyumbang kepada permohonan akibat kehilangan ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri Mangsa Banjir Kampung Pasir Raja, Dungun di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja di sini hari ini.
Pada program itu, enam penduduk Kampung Pasir Raja dan Kampung Shukor yang terjejas akibat banjir menerima kad pengenalan baharu.
Badrul Hisham berkata, JPN juga akan meneruskan program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Diaspora di Amerika Syarikat pada Jun ini
Menurutnya, ia bagi memberi perkhidmatan dan nasihat berkaitan pembaharuan kad pengenalan, cabutan sijil lahir dan permohonan kewarganegaraan untuk rakyat Malaysia di luar negara.
Katanya, pihaknya ke Jeddah pada Februari lalu dengan pemilihan lokasi berkenaan dibuat berdasarkan jumlah rakyat Malaysia yang berada di sana.
"Sebenarnya ramai warga negara kita yang berada di luar negara memerlukan perkhidmatan kita. Jadi atas inisiatif Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kita ke sana untuk urusan berkenaan," katanya.