View: 12341|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
'Berhati-hati dalam berkawan, saya hilang RM2 juta kerana kawan baik'
[Copy link]
|
|
EZAN pernah ditipu kawan baik sehingga kehilangan RM2 juta. FOTO ihsan Ezan Ithnin
Kuala Lumpur: Gara-gara ditipu kawan baik, wanita ini kerugian RM2 juta selain hampir membunuh diri.
Itu yang terjadi kepada Ezan Ithnin yang mana kisahnya menarik perhatian warganet ekoran menjadi mangsa 'tikam' belakang kawan baik.
Menurutnya, insiden itu juga membuatkan dia kemurungan dan turun berat badan sehingga 20 kilogram (kg).
"Saya mempunyai beberapa orang kawan baik yang juga rakan kongsi dalam perniagaan pembinaan. Nama pun kawan baik, jadi segala-galanya dikongsi bersama. Ini kerana dalam berkawan saya niat ikhlas kerana Allah dan ingin sama-sama berjaya.
"Tapi itulah, buat baik belum tentu dibalas baik. Bukanlah saya mengharapkan balasan dalam berkawan, tapi janganlah mengkhianati saya sehingga membuatkan saya jatuh terduduk dengan kerugian keseluruhan RM2 juta.
"Jumlah ini merujuk kepada beberapa kali saya ditipu oleh kawan baik yang berlainan. Rasa kecewa, terkilan dan saya hampir mahu bunuh diri kerana terlalu tertekan. Saya juga menjadi murung dan berat badan susut 20kg.
"Pada masa sama, kerap kali ada suara berbisik kepada saya agar terjun dari bangunan pejabat yang tinggi untuk hilangkan tekanan. Malah, hampir terjun dari sebuah bangunan tinggi di Kuala Lumpur. Namun, Allah gerakkan hati saya untuk tidak melakukan dosa besar itu," katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya yang kini bangkit mengusahakan bisnes berkaitan teknologi, produk pelancongan dan teknologi dalam pendidikan berkata, perkongsian itu sebagai peringatan buat dirinya juga orang ramai agar lebih berhati-hati dalam berkawan.
"Saya yakin, apa yang berlaku kepada saya juga terjadi kepada orang lain. Tidak kiralah apa bidang atau situasi sekalipun, berhati-hatilah dalam berkawan.
"Kesilapan saya adalah terlalu mempercayai orang lain dan mudah 'diperbodohkan' sehingga akhirnya diri sendiri merana. Komitmen yang diberikan hanya sia-sia, emosi terganggu ditambah pula dengan kemurungan dan duit lesap RM2 juta, itu saja 'faedah' yang saya dapat hasil mempercayai kawan baik.
"Tipulah kalau saya cakap tak pernah rasa nak putus asa. Tetapi saya percaya Allah mengaturkan yang terbaik buat hamba-Nya. Apa yang berlaku jadikan pengajaran agar tidak berulang lagi," kata pemilik syarikat MYG Group Holding Sdn Bhd itu.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... a-kerana-kawan-baik |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|