![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20241016/kch-ub161024-hh-unimastyt-p1.jpeg)
Tun Wan Junaidi (kanan) menerima watikah pelantikan daripada Dr Zambry sambil disaksikan oleh tetamu kehormat lain. - Gambar Penerangan
KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) perlu meneroka potensi dan mencari peluang kerjasama dengan industri antarabangsa dalam bidang aeroangkasa agar dapat melahirkan bakat dan teknologi yang diperlukan untuk sektor tersebut.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, bidang aeroangkasa kian berkembang di Sarawak pada masa kini, seterusnya membuka peluang besar untuk penyelidikan dan inovasi.
Justeru pada pandangan beliau, melaksanakan inisiatif itu bukan sahaja akan mengukuhkan kedudukan UNIMAS di peta dunia, tetapi juga menjadikan institusi di Sarawak sebagai penyumbang utama kepada kemajuan sains dan teknologi angkasa.
"Dalam menggalas usaha ini, UNIMAS mesti cekal dan teguh dalam melaksanakan langkah-langkah tersebut.
"UNIMAS mampu bersaing dengan universiti antarabangsa di samping memenuhi keperluan terkini," ujarnya ketika berucap pada Istiadat Pemasyuran dan Penyerahan Watikah Pelantikan beliau sebagai Canselor UNIMAS di Astana Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Tun Wan Junaidi menambah, UNIMAS harus berani meneroka kaedah-kaedah baharu dalam penyelidikan teknologi seperti menubuhkan fakulti dalam bidang kecerdasan buatan (Al) dan robotik.
Langkah ini katanya, akan melonjakkan usaha UNIMAS dalam membangunkan bakat mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang bertepatan dengan permintaan pelabur serta industri, lebih-lebih lagi dalam usaha merealisasikan aspirasi Sarawak sebagai hub tenaga diperbaharu di rantau ini.
"Namun, sekiranya UNIMAS masih belum mempunyai kepakaran dalam bidang ini, UNIMAS harus berusaha untuk mendalami ilmu inovasi dan teknologi digital," katanya.
Mengulas mengenai pelantikannya sebagai Canselor UNIMAS yang keempat, Tun Wan Junaidi mengakui ia bukan sahaja satu penghormatan, tetapi juga membawa tanggungjawab besar.
Tun Wan Junaidi (tiga kiri) serta isteri, Toh Puan Fauziah (empat kiri) merakam kenangan bersama tetamu kehormat selesai Istiadat Pemasyuran dan Penyerahan Watikah Pelantikan beliau sebagai Canselor UNIMAS di Astana Negeri Sarawak di sini, hari ini. - Gambar Penerangan
"la bukan sekadar simbol kepada universiti ini, tetapi juga berperanan penting sebagai penggerak aspirasi UNIMAS untuk terus melakar kecemerlangan dalam bidang akademik dan penyelidikan, baik di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
"Insya-Allah, saya akan memanfaatkan peluang ini untuk mencurahkan bakti dan khidmat saya, demi kemajuan negeri Sarawak serta negara Malaysia yang kita cintai," katanya.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang turut hadir dan berucap pada majlis istiadat tersebut berkata, beliau percaya dengan pelantikan Tun Wan Junaidi sebagai Canselor UNIMAS yang baharu, ia dapat membantu dalam kemajuan dan hala tuju UNIMAS.
"Tuan Yang Terutama Tun seorang figura dalam pembangunan ekonomi di Malaysia, menjadikan beliau antara salah seorang tokoh yang disegani.
"Tuan Yang Terutama Tun mempunyai pengalaman karier di dalam dunia politik, bidang kepolisan, sebagai seorang peguam, bahkan berkecimpung sebagai seorang penulis prolifik dan ini menunjukkan bahawa beliau seorang yang tak lekang dalam menimba ilmu sepanjang masa serta berpengalaman dan mempunyai perspektif global luar biasa," katanya.
Naib Canselor UNIMAS Profesor Dr Ahmad Hata Rasit pula berkata, pemashyuran Tun Wan Junaidi sebagai Canselor keempat UNIMAS menandakan satu detik penting dalam sejarah universiti tersebut.
Sekitar suasana Istiadat Pemasyuran dan Penyerahan Watikah Pelantikan Tun Wan Junaidi sebagai Canselor UNIMAS di Astana Negeri Sarawak di sini, hari ini. - Gambar Penerangan
Dengan kepimpinan Canselor yang baharu katanya, UNIMAS akan terus berkembang sebagai institusi unggul, mencipta kecemerlangan dalam bidang akademik, penyelidikan dan inovasi.
"Pengurusan universiti yakin, dengan pengalaman dan kebijaksanaan Tun Pehin Sri, universiti ini akan terus melangkah maju, menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
"Kami percaya, dengan kepimpinan Tun Pehin Sri, UNIMAS akan terus memainkan peranan penting dalam menghasilkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan tetapi juga berdaya saing di peringkat global," katanya yang turut berucap pada istiadat tersebut.
Hadir sama, isteri Tun Wan Junaidi Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Timbalan Premier Sarawak merangkap Pro Canselor UNIMAS Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn dan Timbalannya Datuk Annuar Rapa'ee serta tetamu kehormat lain.
|