![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20241014/kch-ub141024-mm-jo-p1a.jpg)
Abang Johari melakukan simbolik perasmian Program Pemindahan Teknologi Sawit di CIDB Kuching, Jalan Sultan Tengah sambil disaksikan tetamu kenamaan lain hari ini. - Gambar Mohd Faisal Ahmad
KUCHING: Kerajaan Sarawak mahu memasarkan jentera penuai buah sawit hasil inovasi Sarawak Plantation Berhad (SPB) yang dikendalikan menggunakan kawalan jarak jauh, ke peringkat global.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, jentera itu yang dinamakan sebagai Lipan dan Kerbau mampu menuai 1.2 tan buah kelapa sawit dalam masa dua minit.
Menurutnya, usaha ini akan dapat mengurangkan kebergantungan pemain industri terhadap tenaga kerja asing yang menjadi antara isu berbangkit sebelum ini.
“Tadi, saya ada berbincang dengan pihak Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk maklumkan kita di Sarawak menerusi SPB sudah ada teknologi baharu dalam penuaian buah kelapa sawit.
“Jadi, apa yang harus kita lakukan sekarang adalah mengeluarkan jentera tersebut dari peringkat kilang, yang juga akan sentiasa melakukan penambahbaikan terhadap teknologinya.
“Asas teknologi sudah ada, hanya kita perlu perbaiki keberkesanan jentera penuai dan ini mesti dijalankan oleh sebuah syarikat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Pemindahan Teknologi Sawit di CIDB Kuching, Jalan Sultan Tengah di sini, hari ini.
Sebab itu, Abang Johari berkata, beliau menjemput MPOB menjadi rakan ekuiti dalam syarikat tersebut.
“Selain SPB, Kerajaan Sarawak juga akan memainkan peranan dalam menguruskan syarikat ini.
“Dengan usaha ini, kita akan menjadi pengeluar utama dalam industri kelapa sawit di mana pemain-pemain boleh membeli jentera kita.
“Kerana kelapa sawit ini bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Asia Tenggara termasuk Indonesia dan Afrika, jadi maknanya jentera penuai kita menjadi mesin di peringkat global,” katanya.
Terdahulu, Abang Johari dalam ucapannya memberitahu, beliau telah memberi peruntukan sebanyak RM5 juta masing-masing kepada Swinburne University of Tecnology Kampus Sarawak dan SPB untuk melakukan kajian tentang jentera penuai buah sawit teknologi baharu ini.
“Selepas mengambil alih tampuk kepimpinan daripada bekas Ketua Menteri Sarawak terdahulu Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem, saya minta Swinburne dan SPB melakukan kajian terhadap usaha ini,” katanya.
Pada mulanya kata beliau, ramai yang ragu dan percaya bahawa penuaian buah kelapa sawit hanya memerlukan tenaga kerja manual.
“Tetapi saya menganggap ini sebagai cabaran. Selama empat tahun, kita terus mencuba dan walaupun terdapat kegagalan, kita terus memperbaiki. Kini, saya dapat melihat SPB telah berjaya.
“Traktor ini dapat menuai buah kelapa sawit dan dalam hanya dua minit, ia dapat memuatkan 1.2 tan buah sawit ke dalam bin untuk pemprosesan. Oleh itu, wang yang saya peruntukkan adalah sangat berbaloi,” ujarnya.
Abang Johari menekankan bahawa kemajuan teknologi itu berpunca daripada azam yang kuat untuk merevolusikan industri minyak sawit.
Dengan inovasi tersebut, beliau memberi jaminan bahawa industri tempatan tidak lagi bergantung kepada tenaga kerja asing.
|