Terdapat 1,741 ketua isi rumah dengan 9,462 ahli keluarga yang tinggal di rumah setinggan di bandar raya Miri
![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20241014/myy-ub141024-sn-chiewsetinggan-p1a.jpg)
MIRI: Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man (gambar) memberitahu, lebih 11,000 penduduk di Miri masih menetap di kawasan setinggan.
Perkara itu turut dikongsikan beliau di laman Facebook yang mendapat banyak tanda suka dan komen.
"Sarawak Bumi Kenyalang, tanah tumpah kesayangan kita begitu kaya dengan sumber asli yang melimpah ruah, namun lebih 11,000 rakyat di Miri masih hidup dalam kemiskinan dan duduk di rumah setinggan," kongsi Chiew di Facebook, semalam.
Diminta mengulas lanjut tentang isu itu Chiew berkata, pada 2 November lalu dalam sesi soal jawab di Parlimen, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan bahawa menurut rekod, terdapat 1,741 ketua isi rumah dengan 9,462 ahli keluarga yang tinggal di rumah setinggan di bandar raya Miri.
Menurut Chiew, beliau menerima banyak aduan dan permohonan bantuan daripada penduduk kawasan setinggan.
Lawatan tapak yang dilakukan beliau mendedahkan bahawa penduduk menghadapi pelbagai isu, terutama dalam akses kepada kemudahan infrastruktur seperti air, elektrik dan jalan yang selamat.
"Situasi ini menekankan keperluan untuk mengembangkan dasar perumahan yang lebih menyeluruh yang dapat memenuhi keperluan rakyat khususnya di bandar raya Miri bagi mendapatkan rumah kos rendah atau rumah mampu milik," jelas Chiew.
Chiew menambah, dalam proses perbandaran dan pembangunan bandar, isu perumahan sering timbul akibat kekurangan tanah berbanding dengan pertambahan penduduk.
Menurutnya, adalah penting untuk merancang dan melaksanakan strategi yang berkesan bagi memastikan semua lapisan masyarakat, termasuk mereka yang tinggal di kawasan setinggan, dapat menikmati kediaman yang selesa dan selamat.
"Saya akan terus membawa isu perumahan ini di Parlimen supaya keperluan Miri untuk mendapatkan rumah mampu milik dapat diberi perhatian yang setimpalnya," jelasnya.
|