![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20241104/kch-ub041124-hh-milton-p1.jpg)
Foo pada sidang media di Kuching, bercakap mengenai kes seorang wanita muda yang hilang, disyaki diculik.
KUCHING: Ketua Biro Pengaduan Awam (PCB) Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Milton Foo menggesa kerajaan persekutuan memperkukuhkan sistem nasional berikutan peningkatan kes penipuan dan pemerdagangan manusia.
Beliau menegaskan bahawa negara memerlukan undang-undang yang kukuh untuk melindungi orang ramai daripada bahaya, baik dari segi fizikal mahupun kewangan, selain melindungi daripada berlakunya kerugian harta benda.
"Kita menyaksikan peningkatan yang membimbangkan dalam kejadian orang hilang di negara asing, penipuan dalam talian, penipuan penyamaran dan kes pemerdagangan manusia. Saya percaya terdapat isu asas dalam sistem kita.
"Jika kita merujuk kepada kerajaan atau pihak berkuasa untuk mendapatkan arahan, namun kita mendengar, 'kita tidak boleh melakukan ini, kita tidak boleh melakukan itu,' maka mengapa ada sistem itu?" katanya pada sidang media hari ini.
Foo menegaskan bahawa pihak berkuasa yang bertanggungjawab memantau pintu masuk dan keluar Malaysia harus menggunakan pendekatan lebih proaktif dalam mengawasi pergerakan pelawat dan penduduk tempatan.
"Ya, ia mungkin menyusahkan, bahkan untuk diri saya sendiri apabila melancong ke luar negara. Soalan-soalannya, prosedurnya... ia kelihatan membebankan.
"Tetapi ini melibatkan nyawa. Sebaik sahaja sesuatu berlaku, walaupun maklumat itu kecil, ia mungkin boleh menyelamatkan nyawa. Ini adalah soal hidup dan mati bagi saya," tegasnya.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya berhati-hati memandangkan terdapat peningkatan kes membabitkan pemerdagangan manusia dan penipuan lain.
“Penipuan pekerjaan tidak terhad kepada tawaran lumayan, malah pelancong atau kumpulan yang melancong ke luar negara boleh menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia.
“Jadi, saya menggesa semua orang supaya sentiasa berwaspada, bukan sahaja ketika mempertimbangkan pekerjaan di luar negara malah ketika melancong.
"Tiada apa yang berasa benar-benar selamat pada masa kini, terutama dengan penggunaan telefon pintar secara meluas," katanya sambil menjelaskan bahawa dengan telefon pintar, maklumat peribadi semakin terdedah.
|