Utusan Borneo
KOTA KINABALU: Jabatan Perhutanan Sabah (SFD) menafikan kenyataan yang disiarkan didalam dalam dua artikel diterbitkan Sarawak Report.
Artikel bertajuk ‘Illegal Logging In Sabah! (By the State Government)’ bertarikh 1 Disember dan ‘Sabah Forestry Admits Log Extraction and Export, Says Timber is Disease Ridden’ bertarikh 3 Disember disifatkan berniat jahat.
Jabatan itu dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan sepertimana yang disiarkan di dalam akhbar terbabit. “Artikel pertama mendakwa kayu di Sabah dibawa keluar tanpa bayaran sepatutnya dan ini adalah kenyataan yang tidak benar.
“Jabatan Perhutanan Sabah mengutip royalti daripada pengekstrakan pokok Acacia mangium mengikut Peraturan Hutan 1969.
“Bagi isu wabak penyakit layu Ceratocystis, Jabatan Perhutanan Sabah dengan kerjasama Yayasan Sabah, sedang mengambil langkah membendung dan menghapuskan ancaman yang ditimbulkan oleh penyakit ini,” katanya.
Tambahnya, isu ini juga sudah dibangkitkan dan dibincangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November lalu.
Katanya, ini adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang dilakukan dengan niat jahat oleh Sarawak Report dan Jabatan Perhutanan Sabah akan membuat laporan polis sebagai tindakan lanjut terhadap isu ini.
|