BERTEMBUNG: Keadaan kedua-dua lori membawa muatan kelapa sawit selepas bertembung.
BELURAN: Dua lelaki mengalami kecederaan selepas terbabit dalam pertembungan antara dua buah lori di Check Point Simpang Beluran di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran Penolong Penguasa Bomba Edoen Macheal berkata, kejadian jam 6.57 pagi itu membabitkan dua lori masing-masing lori tiga tan dan 10 tan yang membawa muatan kelapa sawit.
Katanya, sepasukan pegawai serta anggota bergegas ke lokasi bersama jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi sebaik menerima panggilan berkenaan kejadian.
“Semasa pasukan bomba tiba di lokasi, kedua-dua mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan.
“Mangsa pertama berusia 46 tahun cedera di bahagian kepala manakala seorang lagi mangsa berusia 18 tahun patah kaki dan tangan.
“Mangsa diberi rawatan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi sebelum dihantar ke Hospital Beluran menggunakan Ambulans bagi mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya.
Katanya, pasukan bomba bertindak membersihkan kawasan kemalangan dan menamatkan operasi jam 9.13 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi.
|